Rabu, 8 Mei 2019 | 11:04am
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (lima dari kiri) bersama tujuh pelajar terpilih menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) tahun ini iaitu empat pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiga pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Wisma Sri Pahang. - Foto Zulkepli Osman

Tujuh pelajar cemerlang SPM, STPM terima biasiswa

KUANTAN: Seramai tujuh pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang 2019, hari ini.

Daripada jumlah itu, empat pelajar cemerlang SPM yang memperoleh keputusan 10A dan bakinya pelajar cemerlang STPM yang memperoleh keputusan 4A.

BKMB mula diperkenalkan pada 1998 bertujuan membentuk golongan pemikir anak Pahang yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah diri dan kokurikulum.

Melalui BKMB, pelajar perubatan akan menerima pembiayaan berjumlah RM70,000 bagi tempoh lima tahun pengajian, manakala bagi bidang pengajian seperti perakaunan, kejuruteraan dan sastera pula menerima RM54,000.

Setiap pelajar menerima insentif wang tunai RM1,000; sijil penghargaan; surat amanat dan plak yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi di Wisma Sri Pahang, dekat sini.

Sejak diperkenalkan, BKMB sudah menaja 88 pelajar cemerlang di negeri ini membabitkan peruntukan RM10.8 juta.

Seorang penerima BKMB 2019, Abdul Manaf Abdul Aziz, 18, berharap impiannya untuk bergelar doktor akan tercapai dengan adanya biasiswa ini.

Beliau yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selepas kisahnya disiarkan BH pada 31 Mac lalu.

“Banyak pihak datang mengunjungi rumah kami selepas kisah itu disiarkan. Memang saya ada terima tawaran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mengikut pengajian di peringkat asasi terlebih dahulu sebelum melanjutkan dalam bidang perubatan, tapi buat masa ini saya belum buat keputusan muktamad.

“Ada beberapa lagi tawaran turut diterima seperti dari Yayasan Bank Rakyat, semuanya masih saya pertimbangkan... terima kasih kepada semua yang sudi membantu dan hanya Tuhan sahaja dapat membalas jasa anda semua,” katanya.


Abdul Manaf Abdul Aziz menunjukkan sijil penghargaan kepada bapanya Abdul Aziz Osman selepas menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB). Abdul Manaf memperolehi 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu merupakan pelajar miskin yang kematian ibu dan mempunyai adik beradik OKU (masalah pembelajaran). - Foto Zulkepli Osman

Bapa Abdul Manaf, Abdul Aziz Osman, 60, yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu berharap biasiswa itu menjadi pembuka jalan untuk anaknya mencapai cita-cita menjadi doktor.

Abdul Manaf kehilangan ibu, Hasliza Amanah, tahun lalu akibat masalah buah pinggang dan kini menetap bersama keluarganya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, dekat Pekan, menyimpan impian menjadi doktor pakar dalam bidang otak dan saraf.

Berita Harian X