Khamis, 2 Mei 2019 | 7:28pm
Mohd Redzuan (tengah) menerima cenderahati daripada Mustafa (dua dari kanan) selepas merasmikan Program PROTEGE Reach-Out and Awareness 2019, di UMS, Kota Kinabalu. - NSTP/Edmund Samunting

PROTEGE sasar 15,000 graduan menjadi usahawan

KOTA KINABALU: Program Profesional Training And Education For Growing Entrepreneurs atau PROTEGE menyasarkan 15,000 graduan untuk dilatih sebagai usahawan dan kebolehpasaran, pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata ini sejajar dengan usaha kementerian untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan berkebolehpasaran dalam kalangan graduan di negara ini.

Menerusi PROTEGE, beliau mahu membentuk anak muda yang bakal menjadi pelapis pemimpin negara untuk menjadi insan yang berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Belia perlu berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selain berkebolehpasaran apabila tamat pengajian.

Kita tidak boleh menjadi seorang anak muda yang sudah pun ada ijazah tetapi meminta-minta... bukan minta wang tetapi meminta untuk bekerja.

"Ini yang kita mahu tukar, kita mahu (graduan) menjadi seorang siswazah yang berkebolehan untuk berusaha sendiri, menjadi usahawan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain," katanya pada sidang media selepas hadir Program PROTEGE Reach-Out and Awareness di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa; Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Ketua Sekretariat PROTEGE, Norasikin Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan Mohd Redzuan berkata, koperasi menyasarkan perolehan sebanyak RM50 bilion pada tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, graduan perlu membuka minda, sekali gus mengambil pendekatan baharu untuk menjadi usahawan dan bukan hanya mengharapkan peluang pekerjaan.

"Sebab itu kita wujudkan PROTEGE, kita mahu membentuk budaya dalam kalangan graduan untuk menjadi usahawan dan bukannya mengharapkan pekerjaan apabila keluar kelak (tamat pengajian).

"Kita tidak mahu graduan ambil jalan mudah untuk bekerja dan menerima gaji rendah sahaja tanpa cuba untuk berusaha (sebagai usahawan)," katanya sambil menambah banyak aktiviti keusahawanan yang boleh disertai graduan di negara ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengadakan sesi dialog bersama pelajar UMS selain pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dan sekolah sekitar Kota Kinabalu yang hadir pads majlis berkenaan.

UMS adalah universiti ke-14 dan yang terakhir bagi sesi ini untuk program PROTEGE yang bermula pada 28 Januari lalu.

Berita Harian X