Selasa, 16 April 2019 | 1:27pm
ZARINAH (enam dari kanan) bersama Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali (lima dari kanan) bergambar bersama alumni selepas Pelancaran Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni UiTM Cawangan Sarawak di dewan Jubli, Kampus Samarahan. - Foto Norsyazwani Nasri

UiTM hasilkan legasi membanggakan sejak 63 tahun

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengekalkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di negara ini sejak penubuhannya 63 tahun lalu.

Malah, sepanjang tempoh itu, institusi berkenaan berjaya melahirkan lebih 800,000 graduan dalam pelbagai bidang yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara dan sosio-ekonomi rakyat.

Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar, berkata bersandarkan pencapaian itu, institusi ini komited untuk terus berusaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

“UiTM kini tersenarai pada tangga ke-137 dalam QS Asia University Ranking 2019, peningkatan sebanyak 21 tangga berbanding tahun lalu.

“Ini selari dengan keputusan QS Graduate Employability Ranking 2019, dengan UiTM berada pada kedudukan keempat terbaik di Malaysia bagi kebolehpasaran graduan, seterusnya meletakkan UiTM dalam kalangan 28 peratus universiti terbaik Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Ke-90 dan Pelancaran Kad Debit-I Bank Rakyat Alumni UiTM Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali.

Konvokesyen dibahagikan kepada empat sidang itu menyaksikan keseluruhan seramai 1,331 graduan terbahagi kepada 453 graduan menerima ijazah Sarjana Muda manakala 878 graduan menerima Diploma.

Katanya, Fakulti Seni bina, Perancangan dan Ukur sudah menerima pengiktirafan antarabangsa dan World Park Academy bagi program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti baru-baru ini.

“Ia juga diiktiraf sebagai pusat pengajian alam bina yang paling menyeluruh di Malaysia dan telah disenaraikandi dalam QS World University Rangking tahun lalu sebagai salah sebuah universiti 200 terbaik di dalam bidang Arkitek dan Alam Sekitar.

“Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan pula berjaya meraih akreditasi daripada Asia Pasific Institute For Events Management sebagai Pusat Kecemerlangan dan pengurusan acara,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan antarabangsa membuktikan tahap kecemerlangan akademik yang tinggi sudah pasti dapat meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UiTM.

“Konvokesyen ini titik permulaan bagi perjalanan yang lebih jauh dan mencabar. Pengalaman di universiti adalah landasan bagi graduan mengembangkan bakat dan potensi untuk kekal berdaya saing dalam bidang dipilih.

“Kita berharap graduan UiTM akan menjadi contoh terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi. Sematkan nilai integriti, kejujuran dan menghormati orang lain dalam diri untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Berita Harian X