Khamis, 4 April 2019 | 5:51pm
SEMINAR PT3 2019 di Heriot-Watt University di Putrajaya. - Foto: Rosela Ismail.
SEMINAR PT3 2019 di Heriot-Watt University di Putrajaya. - Foto: Rosela Ismail.

Seminar PT3 2019 bermula

Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak

meor.ahmad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seminar PT3 BH Minda yang diadakan setiap hujung minggu di seluruh negara banyak memberi manfaat kepada peserta untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Pengisian Seminar berkenaan memberi fokus kepada teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan tepat mengikut kehendak dan piawaian peperiksaan.

Pelbagai panduan, bimbingan dan motivasi diberikan oleh penceramah kepada peserta seminar untuk membantu calon peperiksaan itu mendapat markah yang maksimum.

Penceramah seminar pula terdiri daripada guru cemerlang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengajaran mata pelajaran masing-masing.

Pada tahun lalu, sebanyak 31 seminar itu diadakan di seluruh negara membabitkan tajaan daripada syarikat korporat, ejen yang dilantik BH termasuk pakej sekolah.

Antara syarikat korporat yang bekerjasama dengan BH adalah Yayasan Bank Rakyat (YBR), UEM Sunrise, Forest City dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Lokasi seminar yang disediakan seperti dewan atau auditorium yang selesa dan lengkap, sesuai dengan suasana pembelajaran dan pelajar juga akan disediakan modul bercetak termasuk fail, salinan jawapan dan sijil penyertaan.

Seminar itu menyediakan pembelajaran subjek teras membabitkan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pengisiannya merangkumi teknik dan strategi belajar secara berkesan dan tepat, penekanan dan penjelasan pengujian kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), mengupas teknik menjawab soalan dengan terperinci bersandarkan elemen KBAT dan modul Sains dan Matematik yang disediakan dalam format Program Dwibahasa (DLP).

Pelajar juga boleh menggunakan sisipan BH Minda setiap hari Selasa yang merangkumi pelbagai aspek termasuk akademik dan kokurikulum untuk dijadikan rujukan dan bahan ulang kaji khususnya kepada pelajar yang tidak mengikuti kelas tambahan di luar.

Untuk pertanyaan seminar atau bengkel pendidikan sila hubungi Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di talian 1 300 22 6787 sambungan 7603/8285/3158 atau ikuti Facebook BH Pendidikan.

info

-BH menyasarkan sebanyak 300 seminar diadakan bermula Mac sehingga Disember tahun ini.

-Sisipan BH Minda setiap hari Selasa.

Berita Harian X