Rabu, 3 April 2019 | 10:50pm
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (duduk dua, kiri) bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (duduk, kiri) mengadakan lawatan ke ruang pameran sempena Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) di Muzium Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (duduk dua, kiri) bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (duduk, kiri) mengadakan lawatan ke ruang pameran sempena Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) di Muzium Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Muzium pupuk rasa cinta kepada negara

KUALA LUMPUR: Muzium boleh membantu memupuk semangat cintakan negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, terutama menerusi program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata IPIM ialah program pendidikan sebagai usaha mengintegrasikan murid daripada pelbagai latar sosiobudaya melalui konsep silang budaya yang menggunakan gabungan pendidikan formal dan tidak formal yang boleh diperoleh dari muzium.

Beliau berkata, ia satu program pembangunan sahsiah murid dengan melawat sebuah muzium ketika di sekolah rendah dan menengah, sekali gus mengaktifkan Program Pembelajaran Luar Bilik Darjah.

“Usaha ini terbukti berjaya menerusi projek rintis Modul IPIM yang dilaksanakan hampir sebulan pada Mei 2015 dengan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Jabatan Muzium Malaysia, pastinya akan menjayakan usaha menyokong dasar wajib lulus mata pelajaran Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pelaksanaan IPIM landasan terbaik kepada masyarakat mengenal lebih mendalam sejarah negara apabila dapat melihat dan memahami apa yang dipamerkan di muzium yang menyertai program ini,” katanya selepas majlis pelancaran program IPIM di Muzium Negara di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (dua, kiri) bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (dua, kanan) bertukar dokumen pada Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) di Muzium Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (dua, kiri) bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (dua, kanan) bertukar dokumen pada Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) di Muzium Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Program IPIM usaha menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta merealisasikan Aspirasi Pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pembabitan pelajar dan guru dalam program ini dapat meningkatkan minat pelajar untuk meneroka pengetahuan baharu, khususnya subjek Sejarah sekali gus menjadi lebih menarik melalui pengalaman pembelajaran secara langsung.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya mendapati IPIM satu inisiatif yang cukup baik kerana amat relevan dengan transformasi pendidikan dan memartabatkan institusi muzium.

“Sehingga kini, sebanyak 43 buah muzium sudah mendaftarkan diri dalam program IPIM yang pastinya dapat mengukuhkan peranan muzium sebagai sokongan kepada pendidikan negara bagi mencapai objektif mewujudkan modal insan dari pelbagai kaum.

“Pembabitan muzium dalam pendidikan negara sebenarnya memberi kelebihan kepada murid sekolah untuk merasai makna sejarah dan mengetahui lebih mendalam warisan negara yang perlu dipertahankan dan difahami bagi mewujudkan rakyat cintakan negara,” katanya.

Berita Harian X