Isnin, 18 March 2019 | 1:23pm

IUKL mulakan bidang pengajian rel

KUALA LUMPUR: Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) mahu menjadi institusi peneraju dalam bidang pengajian rel menerusi kerjasama dengan syarikat rel swasta, dalam usaha menerokai industri rel Malaysia yang berkembang maju.

Naib Canselor IUKL, Prof Dr Ideris Zakaria, berkata dengan menawarkan subjek rel dan menjalin kerjasama dengan syarikat rel, pelajar akan dapat mengetahui permintaan menggalakkan dalam industri rel, manakala syarikat rel boleh mendapatkan sumber daripada kumpulan bakat berkenaan.

“Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam pembangunan sistem pengangkutan awam, khususnya sistem rel dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan perluasan berterusan sistem rel kita, kami jangka wujud keperluan segera untuk lebih banyak profesional rel tempatan bagi memastikan keefisienan jangka panjang, kebolehpercayaan dan keselamatan perkhidmatan rel negara kita,” katanya.

“Di IUKL, kami berusaha untuk mengeluarkan graduan yang dilengkapi pengalaman kerja sebenar. Kami ketika ini sedang mencari kaedah untuk berkerjasama dengan sektor swasta dan menyediakan peluang kepada graduan untuk mendapatkan pengetahuan bernilai yang hanya boleh diperolehi dengan menjalani latihan dalam projek rel sedia ada.

Ideris berkata, program latihan penting untuk Malaysia kerana ia akan membantu mengeluarkan profesional bertaraf dunia.

“Ini juga akan menawarkan peluang untuk kami menampilkan bakat tempatan yang berkebolehan melaksanakan projek bertaraf dunia di dalam negara dan antarabangsa,” katanya.

Kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk memperluas sistem rel di kawasan bandar, serta menaik taraf rel antara bandar raya sedia ada untuk meningkatkan keefisienan dan jaringan hubungan.

Ini termasuk pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang akan menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dan Johan Setia, Klang. Projek ini, dengan kos disemak semula RM15.02 bilion, dijangka beroperasi pada 2024 dan akan dimanfaatkan oleh 67,000 penumpang sehari.

Kerajaan juga sedang melaksanakan perluasan laluan Transit Aliran Massa (MRT) yang akan menghubungkan Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya.

Fasa pertama projek RM30.53 bilion itu dijangka mula beroperasi pada Julai 2021, manakala baki laluan dijangka beroperasi pada 2022.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad juga sedang melaksanakan kerja baik pulih besar-besaran terhadap infrastruktur landasan kereta apinya dengan pelbagai projek, termasuk landasan berkembar dan elekktrik laluan Gemas-Johor Bahru serta projek landasan berkembar Lembah Klang.

IUKL menawarkan kursus kejuruteraan yang membolehkan graduannya melanjutkan pengajian dalam bidang industri rel.

Program kejuruteraan IUKL mendapat akreditasi Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) dan diiktiraf oleh kerajaan.

EAC ialah badan ditauliahkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan satu-satunya badan akreditasi yang diiktiraf bagi program ijazah kejuruteraan ditawarkan di Malaysia.

Ijazah kejuruteraan IUKL turut diiktiraf antarabangsa di bawah Perjanjian Washington, iaitu perjanjian multinasional yang mengiktiraf program ijazah kejuruteraan yang diberi akreditasi oleh badan bertanggungjawab di setiap negara yang menandatanganinya. - BERNAMA

Berita Harian X