Sabtu, 16 March 2019 | 5:58pm
Dr Mohd Nor Azman Hassan (tengah) bergambar bersama peserta program Menelusuri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19): Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Meniti Setiakawan Komuniti di Jabatan Laut Wilayah Selatan, Gelang Patah - Foto Nurul Amanina Suhaini
Dr Mohd Nor Azman Hassan (tengah) bergambar bersama peserta program Menelusuri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19): Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Meniti Setiakawan Komuniti di Jabatan Laut Wilayah Selatan, Gelang Patah - Foto Nurul Amanina Suhaini

Pelajar selami ilmu sains maritim di LIMA '19

JOHOR BAHRU: Seramai 280 pelajar dari tujuh sekolah di negeri ini berpeluang memanfaatkan ilmu sains maritim menerusi Program Menelusuri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program bertemakan ‘Meniti Setiakawan Komuniti’ itu juga akan mengetengahkan elemen ilmu sains maritim yang mencakupi beberapa disiplin seperti teknologi perkapalan, sains marin, kelautan dan maritim kepada pelajar

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS), Kementerian Pendidikan, Dr Mohd Nor Azman Hassan, berkata pembabitan universiti kepada komuniti setempat itu seiring dengan Anjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu bekerjasama secara meluas antara ibu bapa, komuniti dan pihak swasta di bawah Inisiatif 62: Peluasan Pelaksanaan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Katanya, program seumpama itu perlu dijadikan wadah dalam memperkenalkan kepada pelajar tentang ilmu kelautan dan sains serta alam sekitar yang amat penting kepada generasi sekarang mahupun akan datang.

“Aspek kemenjadian pelajar harus dilihat secara holistik dan menyeluruh daripada segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan sukan.

“Bagi menarik minat pelajar berkenaan dalam mendalami ilmu berkaitan kelautan, pendekatan universiti terutamanya dalam aktiviti promosi pengajaran dan pembelajaran haruslah sentiasa menarik serta berkesan.

Program promosi yang dilaksanakan sempena LIMA ‘19 berlangsung akan bermula pada 26 hingga 30 Mac depan itu juga bertujuan memupuk minat pelajar khusus dalam bidang pelayaran dengan wujudnya kapal penyelidikan seperti TV Discovery.

Sekolah yang menyertai ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang; SMK Kompleks Sultan Abu Bakar; Maktab Rendah Sains Mara Tun Dr Ismail; Sekolah Menengah (SM) Sains Johor; SMK Gelang Patah; SMK Taman Nusajaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam.

Berita Harian X