Khamis, 14 March 2019 | 6:21pm
Kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan giat dilakukan di kawasan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. Pencemaran berkenaan berpunca pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim pada Khamis lalu. - Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan giat dilakukan di kawasan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. Pencemaran berkenaan berpunca pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim pada Khamis lalu. - Foto BERNAMA

UiTM Johor tangguh operasi kampus selama lima hari

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memutuskan untuk menutup serta menangguhkan semua operasi kampus Pasir Gudang selama lima hari bermula semalam hingga 17 Mac.

Rektor UiTM Johor, Prof Madya Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar, berkata penangguhan operasi itu turut membabitkan operasi kuliah.

“Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan situasi semasa dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri UiTM cawangan Johor.

“Semua warga kampus dinasihatkan mengambil langkah keselamatan seperti memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti luar dan menghindari kawasan tercemar.

“Pastikan kerap minum air daripada sumber terawat dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom seperti pedih mata, kesukaran bernafas dan sakit dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pencemaran bahan kimia beracun yang dikesan berlaku di Sungai Kim Kim di sini sejak Khamis lalu, kini semakin merebak hingga menjejaskan kehidupan penduduk yang berada pada radius 15 kilometer dari lokasi punca bencana.

Setakat malam tadi, seramai 500 pelajar dan penduduk sudah dan sedang dalam rawatan di hospital, termasuk sembilan yang berada dalam kritikal.

Kejadian menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah yang berada di kawasan Pasir Gudang kerana pencemaran bahan kimia itu mencetuskan situasi bahaya kepada kanak-kanak.

Selain itu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mendedahkan, penemuan lapan sebatian kimia berbahaya dikesan dibuang ke dalam Sungai Kim Kim hingga mencetuskan tindak balas terhadap udara dan air.

Bahan kimia berbahaya yang dikesan setakat ini yang dibuang ke sungai itu ialah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene dan limonene.

Berita Harian X