Jumaat, 15 Februari 2019 | 12:58pm
NAIB CANSELOR Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Aini Ideris (empat kiri) melancarkan Buku Advokasi Putra, Putra Bakti dan Etika Kerja di Majlis Perutusan Naib Canselor 2019 di Dewan Besar PKSSAAS, UPM. - Foto Salhani Ibrahim
NAIB CANSELOR Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Aini Ideris (hadapan enam kiri) bersama penerimaan Anugerah Visibiliti Media UPM 2018 di Majlis Perutusan Naib Canselor 2019. - Foto Salhani Ibrahim

Tingkat nilai integriti, etika kerja

SERDANG: Penerapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti dan tadbir urus baik dalam kalangan warga universiti mampu menjadi asas kukuh kepada kewibawaan institusi diyakini serta relevan.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata biarpun komited mengejar kejayaan, warga kampus mestilah berpegang kepada nilai integriti dan etika kerja tinggi berikutan tiada jalan pintas untuk berjaya.

Katanya, autonomi yang diberikan kepada universiti perlu dilaksana sebaiknya termasuk amanah bagi menjayakan kebebasan bersuara, berpolitik dan akademik membabitkan pelajar mahupun pegawai akademik.

“Hal ini selari dengan aspirasi kerajaan melalui saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Pelan Antirasuah Nasional bulan lalu supaya Malaysia dikenali kerana integriti.

“Ini juga seiring dengan amanat Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) yang menekankan soal etika bekerja yang baik, khususnya dalam mengejar kecemerlangan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2019 bertemakan Ihsan: Integriti dan Kewibawaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (TNC) (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman; TNC (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan serta TNC Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof Dr Zulkifli Idrus.

Prof Aini berkata, pencapaian dan kecemerlangan UPM perlu dipacu ke tahap lebih tinggi melalui pelan transformasi yang komprehensif pada masa hadapan.

“Kita bukan setakat mahu melihat UPM berada pada tahap kecemerlangan tetapi berwibawa apabila diiktiraf pihak luar dan menjadi rujukan kepakaran,” katanya.

Pada acara itu, turut disampaikan Anugerah Visibiliti Media UPM 2018 kepada 10 penerima terpilih mengikut kategori masing-masing.

Kategori terbabit antaranya Penulis Produktif Bidang Kepakaran, Keterlibatan Media Tertinggi, Keterlihatan Media Elektronik Tertinggi, Keterlihatan Media Cetak Tertinggi, Inisiatif Keserakanan Terbaik dan Penulis Produktif Bidang Pertanian.

Berita Harian X