Jumaat, 30 November 2018 | 6:30pm
KETUA Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia Media Prima, Nor Arzlin Redzwan bergambar bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017, di Balai Berita, hari ini. - Foto Aziah Azmee

Media Prima hargai anak kakitangan cemerlang dalam peperiksaan

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini menyampaikan penghargaan dan meraikan 50 anak kakitangannya yang cemerlang dalam peperiksaan.

Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017 itu diberikan kepada 20 murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 13 pelajar untuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), empat pelajar untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 13 pelajar cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia Media Prima, Nor Arzlin Redzwan.

Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, majlis penghargaan itu adalah lambang pengorbanan setiap warga kerja Media Prima.

“Kita sebagai ibu bapa sentiasa berhempas pulas siang dan malam menggembleng masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan tunjuk ajar yang sempurna.

“Kita di Media Prima sentiasa sibuk dengan karier dan tanggungjawab masing-masing, justeru keseimbangan di dalam aspek kerjaya dan kehidupan berkeluarga amat penting,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017, di Balai Berita, di sini, hari ini.

Anugerah itu adalah dorongan dan sokongan Media Prima terhadap usaha gigih anak kakitangan dalam mencapai kecemerlangan.

Pada majlis sama, tiga pelajar turut diraikan sebagai Tokoh Pelajar atas kecemerlangan masing-masing dalam UPSR, PT3 dan SPM.

Sementara itu, tokoh pelajar Nuryn Batrishyia Mohd Rafeez, 13, yang cemerlang mendapat 6A dalam UPSR, berkata dia bersyukur atas rezeki ini dan menganggap perjalanannya masih jauh untuk ditempuh.

“Sekarang saya melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan dan sedaya upaya untuk mencapai IGCSE iaitu kelayakan untuk memasuki universiti di Cambridge,” katanya.

Bagi tokoh pelajar PT3, Nur Khaulah Basirun, 16, mendapat 12A 1B adalah satu pencapaian yang tidak disangka lebih-lebih lagi berdepan mata pelajaran yang sukar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan inginkan buktikan kepada ibu bapa yang saya mampu menjadi inspirasi kepada mereka,” katanya.

Selain itu, tokoh cemerlang SPM, Hanuprriya A/P Linggaraj, 18, yang cemerlang 9A+ ketika dihubungi berkata, dia berterima kasih kepada Media Prima atas penghargaan ini.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa menemani saya dan akan mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor gigi kelak,” katanya.

Berita Harian X