Rabu, 21 November 2018 | 3:00pm
NAIB Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad (tengah) menunjukkan anugerah ijazah Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). - Foto Hasriyasyah Sabudin

USIM perkenal Anugerah Khas Daya Cemerlang

NILAI: Buat julung kali, Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung selama tiga hari, bermula 27 November ini, memperkenalkan Anugerah Khas Daya Cemerlang.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad, berkata anugerah berkenaan diberikan kepada seorang graduan yang menunjukkan kecemerlangan signifikan dalam akademik dan kokurikulum.

Malah, katanya, lebih istimewa, calon graduan yang menerima anugerah itu akan dipilih daripada kalangan asnaf.

“Seramai 2,712 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini yang akan disempurnakan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud,” katanya pada sidang media, hari ini.

Musa berkata, graduan yang bakal diraikan membabitkan 113 penerima Doktor Falsafah (PhD), 119 penerima Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (2,379 orang) dan Diploma, 101 orang.

Bertemakan ‘Pembangunan Lestari’, majlis konvokesyen itu turut menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada bekas Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Beliau adalah satu figura penting dalam ekonomi negara yang pernah berkhidmat sebagai senator dan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016,” katanya.

Turut menerima anugerah sama ialah Naib Canselor II USIM, Datuk Muhammad Muda yang pernah berkhidmat di institusi pengajian tinggi itu dari 2009 hingga 2012.

Muhammad memainkan peranan penting dalam penubuhan Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta mempelopori penawaran program pengajian Ekonomi dan Muamalat.

Majlis konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor itu akan turut menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana kepada Mohd Alwi Yusoff, tokoh yang bertanggungjawab memantapkan penubuhan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di USIM.

Musa berkata, dua graduan cemerlang juga akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), dua penerima Anugerah Canselor dan seorang penerima Pingat Emas Naib Canselor.

Bagi memeriahkan acara, pelbagai aktiviti disusun seperti forum ilmiah, malam muzik kemanusiaan, karnival sukan, gerai jualan dan program larian Nocturnal 3.0 yang akan diadakan Sabtu ini.

“Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan pengurusan universiti akan turut menyertai acara larian yang dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Berita Harian X