Isnin, 12 November 2018 | 4:01pm
Tiffanee Marie Lim (kanan) mewakili Lim Kok Wing menerima Anugerah Legenda dalam Inovasi daripada Jesus Moran.
Tiffanee Marie Lim (kanan) mewakili Lim Kok Wing menerima Anugerah Legenda dalam Inovasi daripada Jesus Moran.

LUCT terima anugerah berganda

CYBERJAYA: Pengasas dan Presiden Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Tan Sri Dr Lim Kok Wing menerima Anugerah Legenda Dalam Inovasi daripada The World Confederation of Business (WOLDCOB) atas sumbangan berterusan membabitkan bidang inovasi dalam pendidikan global.

Presiden dan Pengasas Bersama WORLDCOB, Jesus Moran, berkata penganugerahan itu adalah kali pertama dalam sejarah organisasinya untuk mengiktiraf tokoh perniagaan seperti Kok Wing yang berjaya membuka peluang kepada banyak pihak khususnya dalam bidang perniagaan global.

“Anugerah ini diberikan atas pencapaian dan dedikasi Kok Wing yang terkenal di Asia sebagai seorang daripada pakar strategi komunikasi khususnya membabitkan inovasi dalam pendidikan yang memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Dalam tempoh empat dekad, Kok Wing berjaya merancang dan melaksanakan kempen pembangunan bangsa sama ada di peringkat tempatan mahupun luar negara, selain mentransformasi negara membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan anugerah berkenaan kepada Kok Wing yang diwakili Naib Presiden Bahagian Penjenamaan, Kreativiti dan Pembangunan Bakat LUCT, Datuk Tiffanee Marie Lim, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, LUCT turut dianugerahkan Diamond Award oleh WORLDCOB atas pencapaian memberangsangkannya dalam menyediakan peluang pendidikan di tiga benua.

Sementara itu, Marie Lim berkata, LUCT merancang untuk menambah empat lagi kampus cawangannya di Afrika dalam tempoh 12 bulan.

Katanya, perancangan itu termasuk pembinaan kampus di Nigeria, Namibia, Uganda dan Zambia.

“Presiden LUCT seorang yang tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian dikecapinya, justeru kini beliau mahu mengembangkan lagi kampus LUCT terutama di negara membangun dan Afrika,” katanya.

Berita Harian X