Sabtu, 10 November 2018 | 3:20pm
TENGKU Abdullah hadir pada Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
TENGKU Abdullah hadir pada Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Didik mahasiswa kerangka sosial dipersetujui semua kaum - Tengku Abdullah

KUANTAN: Graduan institut pengajian tinggi yang akan menjadi pewaris tamadun negara perlu dididik dengan kerangka sosial yang sudah dipersetujui semua kaum ketika pembentukan Malaysia.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah kerangka sosial itu termasuk kedudukan Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang ditabalkan dengan penuh kemuliaan.

“Kerangka sosial inilah yang membentuk perpaduan dan persefahaman rakyat sehingga akhirnya membawa kepada pembinaan sebuah negara serta tamadun yang unggul,” titahnya pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-13 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah yang juga Canselor UMP menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada bekas Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn Bhd, Dr Hari Narayanan P Ondiveeran.


TENGKU Abdullah (kiri) menyerahkan anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Umi Zaidatul Azeera (kanan) sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di UMP Kampus Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

TENGKU Abdullah (kiri) menyerahkan sijil kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di UMP Kampus Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tengku Abdullah juga bertitah, UMP sehingga kini berjaya melahirkan 22,427 graduan dan ia perlu merangka satu pelan tindakan komprehensif untuk memastikan alumni yang sebahagiannya menjawat kedudukan kanan di agensi kerajaan atau swasta dapat kembali menyumbang kepada universiti.

“Ia adalah satu peluang keemasan yang signifikan ke atas jaringan strategik dan profesional universiti ini, ia bukan sekadar penting dalam konteks penjenamaan universiti tetapi dalam aspek kemajuan mahasiswa, pengembangan penyelidikan serta pengamarahan ekosistem wakaf dan endowmen di UMP.

“Justeru, saya menggesa kepemimpinan universiti perhatian khusus kepada inisiatif ‘Industry Network Alumni Platform’ (Platform Alumni Rangkaian Industri) atau INAP sebagai medium interaksi strategik alumni dengan universiti dan pelajar lain. Melalui usaha ini, saya berkeyakinan ia dapat menarik alumni untuk menyumbang kembali universiti yang menyemai benih kejayaan mereka,” titahnya.

Baginda juga mahu UMP memberi perhatian terhadap penyesuaian hala tuju strategik universiti dengan dasar baharu Kerajaan Pusat dan Kementerian Pendidikan termasuk mengutamakan ketelusan urus tadbir berpaksikan integriti, akauntabiliti dan etika kerja tinggi.

“Saya juga melihat bahawa aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pendidikan bersendikan budaya kegembiraan, kebahagiaan, kasih sayang, kemanusiaan dan hormat menghormati adalah tepat pada masanya. Namun demikian membina Malaysia yang baharu bukan hanya berlandaskan kepada idea untuk melakukan perubahan tanpa menyediakan barisan saf kepemimpinan di semua lapisan untuk mengetuai pembaharuan ingin dicapai.

“Di sinilah peranan boleh dimainkan institut pengajian tinggi iaitu membentuk generasi muda sebagai pemimpin masa depan, mahasiswa perlu dididik supaya mempunyai kekuatan ilmu, kekuatan ekonomi, kekuatan agama dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, UMP berjaya menjana pendapatan sendiri berjumlah RM3.6 juta menerusi projek perundingan dan khidmat teknikal kepada pihak luar sehingga Oktober lalu, sekali gus membuktikan kemampuan UMP dan kepakarannya mendapat perhatian pihak luar.


TENGKU Abdullah (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di UMP Kampus Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Beliau berkata, menerusi kerjasama anak syarikat UMP iaitu UMP Holdings Sdn Bhd, pihaknya memperoleh projek perundingan bernilai RM1.03 juta bagi membangunkan Sistem Pengurusan Kampus (Campus Management System) di Universiti Automotif DRB Hicom.

Malah, katanya, Pelan Strategik UMP 2016-2050 yang menggariskan lima lonjakan sudah mula membuahkan hasil menerusi kepercayaan umum apabila menerima geran penyelidikan aktif berjumlah RM69 juta dengan 70 peratus atau RM48 juta daripada sumber itu adalah bersumberkan pembiayaan luar yang merangkumi agensi awam serta syarikat swasta dari dalam dan luar Malaysia.

"Pada tahun ini, UMP menyaksikan peningkatan geran agensi kerajaan sebanyak 180 peratus iaitu RM8.69 juta berbanding RM3.1 juta tahun lalu melalui 102 projek dengan penyelidikan utama berada pada tahap 90 peratus berbanding purata nasional 65 peratus.

“Sehingga bulan lalu, kita berjaya meningkatkan geran antarabangsa daripada RM1.1 juta pada tahun 2017 kepada RM1.4 juta, antaranya melalui kolaborasi penyelidikan dengan Ajmal Perfumes Manufacturing and Oudh Processing Industry L.L.C. berpengkalan di Dubai bernilai RM461,382 kepada Profesor Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin daripada Pusat Kecermerlangan Bioaromatik.

“Dr Muzamir Hasan daripada Pusat Kelestarian Sumber Bumi pula bekerjasama dengan Asahitechno Co Ltd, Jepun untuk projek penyelidikan bagi mengatasi banjir yang sinonim dengan Pahang menggunakan kaedah super well point bernilai RM129,000. Kita turut bekerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences di Jerman dalam kajian Cyberphysical Systems in Mechatronics and Automotive Engineeringyang bernilai RM457,523 diketuai oleh Dr Saiful Anwar Che Ghani,” katanya.


TENGKU Abdullah (tengah) hadir pada Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di UMP Kampus Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

INFO

- Seramai 2,773 graduan menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-13

- Seramai 63 penerima adalah graduan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), 172 orang graduan Sarjana, 221 orang graduan Sarjana Eksekutif, 52 orang Bacelor Eksekutif, 1,713 orang graduan Sarjana Muda, 40 graduan Dwi Ijazah, 270 orang graduan Diploma dan 242 orang graduan Diploma Eksekutif

Berita Harian X