Jumaat, 26 Oktober 2018 | 1:30pm
MOHD Sirhajwan IdekSirhajwan.

Guru Sabah juara SEAMEO di Australia

KUALA LUMPUR: Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, muncul pendidik pertama di negara ini menjuarai pertandingan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) - Rangkaian Pendidikan Australia 2018.

Laman web SEAMEO, www.seameo.org melaporkan kejayaan itu membolehkan penerima anugerah Community Award for Citizenship di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menerima 10,000 dolar Australia (RM29,412).

Pertandingan itu diadili wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa (UNESCO), SEAMEO dan kerajaan Australia.

Sirhajwan ketika dihubungi berkata, beliau ditaja ke Bangkok pada 29 November ini untuk menerima anugerah berkenaan dan akan ke Australia tahun depan untuk menjalankan kajian selanjutnya.

Katanya, projek dihasilkannya berkisar kepada cerita etnik legenda Bajau itu pernah memenangi Pertandingan Inovasi Penciptaan Dunia (WIC) di Pusat Konvensyen - Dewan Seni Chung Mu, Seoul, Korea Selatan, Jun lalu,

Beliau berkata, pertandingan berkenaan terbuka kepada pendidik di rantau Asia Tenggara dan projek dihasilkannya bertajuk Think Tales of the Borneo: Creating Story Thinkers in ESL Classroom’ .

“Projek ini bertemakan cerita legenda dan mitos kaum di Sabah seperti Bajau, Dusun dan Iranun serta cerita berkenaan digunakan untuk menggalakkan pelajar dalam kelas bahasa Inggeris untuk berkongsi cerita berdasarkan budaya dan asal usul mereka.

“Antara cerita saya hasilkan adalah adalah ‘Bele Bele’ bahasa Bajau yang bermaksud orang-orang, ‘Kanang and the Serimpak’, ‘Soto the magical sapi’ , ‘Bintek the Drover’ dan `Idek and the Segai’,” katanya.

Sirhajwan berkata, penulisan berkenaan berdasarkan komuniti Bajau di Kota Belud termasuk keluarganya serta pengalamannya membesar di Kampung Taun Gusi dan Labuan di daerah itu .

Ini adalah kejayaan ke-13 beliau dalam pertandingan dan anugerah antarabangsa, selain Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan dan Inovasi dalam Pengajaran Guru 2017 di Paris dan biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing selepas menewaskan 220 pemohon dari seluruh dunia.

Berita Harian X