Rabu, 24 Oktober 2018 | 4:14pm
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan peningkatan saban tahun.
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan peningkatan saban tahun.

Kedudukan UUM meningkat dalam QS-AUR 2019

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan kecemerlangan apabila melonjak tiga anak tangga kepada kedudukan 128 dalam Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings (QS-AUR) 2019, berbanding tangga 131 bagi edisi 2018.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata pencapaian itu membuktikan UUM terus konsisten dengan menunjukkan peningkatan tahun demi tahun.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh warga UUM dan saya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas komitmen tinggi yang dicurahkan dalam memartabatkan universiti sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam suatu kenyataan media, yang dikeluarkan di sini, hari ini.

QS-AUR 2019 mengguna pakai 11 indikator dalam menilai sesebuah universiti iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, bilangan staf yang berkelayakan ijazah doktor falsafah (PhD), nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa, nisbah pertukaran pelajar luar dan dalam, rangkaian penyelidikan antarabangsa, sitasi per staf akademik/pensyarah dan papers per faculty.

Menurut kenyataan itu lagi, menerusi indikator nisbah pelajar antarabangsa, UUM berada di kedudukan ke-20 universiti terbaik Asia dan kelima bagi universiti tempatan di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa UUM semakin dikenali dan menjadi tumpuan pelajar antarabangsa khususnya di rantau ini.

Pada tahun ini, QS menganalisis lebih 83,000 maklum balas akademik dan 43,000 maklum balas majikan serta menyenaraikan 505 universiti dengan 92 daripadanya pertama sekali disenaraikan.

Keputusan penuh QS Asia University Rankings boleh dicapai melalui portal www.topuniversities.com.

Berita Harian X