Isnin, 22 Oktober 2018 | 1:38pm
DR Asma Ismail (tengah) bersama Timbalan Naib Censelor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Abdul Rahman Mohamed (dua dari kanan) berama mesra dengan graduan cemerlang, Ngoi Hui Chien (penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESOL (Kepujian), kiri, Mohd Hazim Abdul Manaf (penerima anugerah pingat emas Naib Canselor) dua dari kiri) dan Muhamad Azlan Shah Adnan (penerima anugerah pelajaran DiRaja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia) semasa sidang media khas penyelidikan Universit Sains Malaysia terima Geran Penyelidikan Antarabangsa di Bangunan Canselor, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam

Penyelidik USM peroleh geran antarabangsa RM5.8 juta

GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya memperoleh geran antarabangsa berjumlah RM5.8 juta daripada National Institutes of Health (NIH), Amerika Syarikat, iaitu yang terbesar diterima universiti berkenaan tahun ini.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail, berkata geran itu akan digunakan bagi menyokong projek penyelidikan selama lima tahun membabitkan beberapa lokasi di negara ini bertujuan menilai pelbagai kaedah meningkatkan tahap rawatan pengguna dadah yang ada kebergantungan pada opiat dan dijangkiti HIV.

Melalui projek itu, beliau berkata, penyelidik terbabit juga akan menghasilkan model penjagaan diperkemas dan dinilai yang disokong pendidikan berterusan serta latihan bagi staf perubatan di klinik rawatan HIV/ AIDS atau metadon.

Katanya, kumpulan penyelidik berkenaan diketuai oleh Prof Dr B Vicknasingam @ Vicknasingam Balasingam Kasinather dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM bersama Prof Marek Chawarski dari Pusat Pengajian Ubat-ubatan, Universiti Yale.

“Kita memang menggalakkan pensyarah melakukan penyelidikan dan apabila membabitkan model rawatan baharu bagi mereka yang terkesan dengan dadah, ternyata ia satu perkara penting untuk dunia perubatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Asma berkata, projek itu adalah hasil kolaborasi jangka panjang antara penyelidik USM dengan Universiti Yale, dan berperanan dalam menghasilkan peluang penting mewujudkan garis panduan dasar kesihatan lebih baik di Malaysia serta negara lain.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 6,979 graduan akan diraikan pada Upacara Konvokesyen Ke-56 USM yang berlangsung esok hingga 28 Oktober ini di Dewan Tuanku Syed Putra.

Pada majlis itu, Ijazah Kehormat dan Profesor Emeritus akan dianugerahkan kepada masing-masing dua penerima, selain ijazah doktor falsafah (550), sarjana (1,479), sarjana muda (4,883) dan Diploma Kejururawatan (67).

Katanya, Ijazah Kehormat Doktor Perindustrian akan dianugerahkan kepada Tan Sri Tan Khoon Hai yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang pengauditan, perakaunan dan kewangan korporat, manakala bekas Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Ibrahim Ahmad menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan.

Profesor Emeritus pula akan dianugerahkan kepada bekas Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, dan Prof Dr Mashhor Mansor yang juga pakar bidang ekologi serta biodiversiti dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat.

“Mashhor turut terkenal dalam kajian primat dan adalah pengasas Persatuan Primatologi Malaysia (MPS),” katanya.

Asma berkata, sidang pertama istiadat konvokesyen itu akan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang juga Canselor USM.

Berita Harian X