Isnin, 22 Oktober 2018 | 12:21pm
MOHD Hazim Abdul Manaf mencium ibunya, Norezah Othman selepas diperkenalkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

Teringat arwah suami sebaik lihat wajah keriangan anak

GEORGETOWN: “Melihat kejayaan yang dikecapi Hazim, saya sebak dan terbayang wajah kegembiraan arwah suami saya, kerana mereka berdua seiras,” demikian kata Norezah Othman, 52, yang tidak dapat menahan sebak sewaktu anaknya Mohd Hazim Abdul Manaf, 23, diperkenalkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Norezah berkata, Mohd Hazim yang dianugerahkan pingat emas bagi kategori pemimpin pelajar cemerlang adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik (Kepujian) dan berasal dari Kulim, Kedah itu merupakan anak yatim selepas kematian ayahnya 17 tahun lalu.

“Suami saya merupakan seorang anggota polis dan meninggal dunia ketika Hazim berusia enam tahun kerana diserang angin ahmar.

“Sejak itu, saya menjadi tulang belakang keluarga bagi membesarkan dua anak lelaki kami Hazim dan abangnya yang kini sudah bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah kilang di Kulim,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Khas Konvokesyen USM ke-56 di USM, di sini.

Menurutnya, ia sesuatu yang sangat membanggakan apabila melihat Hazim berjubah dan dikerumuni wartawan dan pensyarahnya sebelum terbayang suaminya yang sudah tiada.

Katanya, wajah Hazim dan ayahnya seiras dan semakin dia dewasa, wajahnya semakin mirip bapanya itu.

“Saya selalu berpesan kepada Hazim agar mengenang jasa kedua orang tuanya termasuk arwah bapanya yang berkorban untuk membesarkan mereka dua beradik.

“Selalu saya ingatkan kepadanya agar tidak melupakan jasa kedua-dua orang tua, malah agar tidak lupa asal usul diri mereka apabila berjaya kelak,” katanya.

Norezah berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk membesarkan mereka selepas kematian suami malah cabaran dan kesusahan yang wujud memberikan semangat untuk dia membesarkan mereka sehingga berjaya.

Sementara itu, Hazim yang kini sudah bekerja sebagai jurutera di kilang tempat abangnya bertugas bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan menjadikan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail sebagai idolanya.

Hazim berkata, dia ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada ibu, keluarga, pensyarah, rakan-rakan dan semua pihak yang banyak membantunya sehingga berjaya menerima anugerah ini.

Selain itu, Hadiah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perumahan, Bangunan dan Perancangan Shoong Wing Fai, 23.

Bagi dua Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia, ia diberikan kepada Muhamad Azlan Shah Adnan, 23, yang juga graduan Sarjana Muda Sains Gunaan bagi kategori bumiputera manakala satu lagi dianugerahkan kepada Ngoi Hui Chien,23, yang merupakan graduan Sarjana muda Pendidikan (TESOL).

Manakala bagi Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, ia dianugerahkan kepada Hazim yang juga graduan Sarjana Muda Sains Fizik.

Berita Harian X