Jumaat, 19 Oktober 2018 | 6:21pm
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (duduk, tengah) mempengerusikan mesyuarat pertandingan sukan elektronik (e-Sukan) di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. - Foto IPGKIK
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (duduk, tengah) mempengerusikan mesyuarat pertandingan sukan elektronik (e-Sukan) di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. - Foto IPGKIK

Pertandingan e-Sukan IPGM

KUALA LUMPUR: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan kerjasama IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) menganjurkan pertandingan sukan elektronik (e-Sukan) terbuka kepada siswa guru IPG seluruh negara, mulai esok hingga Ahad ini di IPGKIK, Cheras, dekat sini.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata objektif pertandingan itu ialah sebagai pendedahan konsep e-Sukan serta pembangunan komputer dan kejuruteraan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan generasi muda,

Selain itu katanya, ia menggalakkan peserta berfikir dan mencuba program berkenaan dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) untuk memenuhi konsep pembelajaran abad ke-21.

Beliau berkata, seterusnya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi serta motor halus, membentuk ukhuwah baharu dan meningkatkan kesedaran dan keselamatan ketika melayari media e-Sukan.

“Program berkenaan dianjurkan bersama Kelab Belia Cemerlang Bandar Tun Hussein Onn, Cheras yang giat membangunkan program Coachunity untuk mencari, memupuk dan mengasah bakat pelajar yang datang dari luar bandar.

“Peserta diberi peluang untuk menjadi pemain profesional dalam apa juga bidang sukan masa depan selain mampu membangun akhlak, sahsiah serta karakter yang berwawasan,” katanya kepada BH, hari ini.

Setiap pasukan boleh mendaftarkan pemain seramai lima orang meliputi lelaki atau wanita, mempunyai telefon pintar dan data internet sendiri, bermain dengan jujur ​​dan berintegriti dan sebarang tipu muslihat akan menyebabkan pasukan hilang kelayakan.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab baharu e-Sukan di rantau Asia Tenggara.

Berita Harian X