Ahad, 14 Oktober 2018 | 5:04pm
MENTERI Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malikbergambar bersama Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) dan Presiden H2UC, Idriss Mansouri (tiga dari kanan) selepas majlis pertukaran dokumen MoU di Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat. - Foto ihsan UMP

UMP, H2UC meterai MoU

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Hassan II University of Casablanca (H2UC) untuk menjalankan kerjasama dalam bidang penyelidikan, program pertukaran staf akademik dan pelajar, program dwiijazah serta perkongsian pintar yang dapat dimanfaatkan bersama.

UMP diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim manakala H2UC oleh Presidennya Idriss Mansouri dalam majlis yang berlangsung di Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat.

Majlis disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Daing Nasir berkata, MoU itu adalah peluang keemasan untuk bekerjasama terutamanya dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan apabila UMP disenaraikan antara 300 universiti terbaik bagi penarafan QS World University Rankings bagi subjek berkenaan.

“Bidang lain termasuklah program sains, sumber semula jadi dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi aspek yang berpotensi dalam kerjasama ini adalah dalam bidang perniagaan dan pengurusan kerana H2UC memiliki Sekolah Perdagangan dan Pengurusan terbaik.

“Ia juga membuka peluang UMP untuk meneroka kerjasama dalam bidang kejuruteraan perniagaan seperti yang sudah dijalankan dengan pihak University of Reutlingen Jerman,” katanya.

H2UC mempunyai lebih 100,000 pelajar yang sebahagian mereka mengikuti pembelajaran jarak jauh sama seperti yang dilaksanakan pihak UMP Advanced Education melalui pembelajaran sepanjang hayat.

UMP juga komited untuk mengembangkan pembelajaran dan pengajarannya dalam paradigma abad ke-21 melalui Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) yang menawarkan pengajian secara dalam talian melalui inisiatif Kuliah Pembelajaran Global (Global Classroom).

UMP juga kini menyertai rangkaian global bagi Online International Learning kelolaan Suny-Coil Network yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Berita Harian X