Khamis, 27 September 2018 | 12:33pm
ABANG Mat Ali (duduk di hadapan, tengah) bersama tetamu kehormat bersama peserta Wacana HIP Zon Sarawak 2018 di Kuching. - NSTP/Malek Joseph

HIP bantu tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

KUCHING: Pelaksanaan Program Pemerkasaaan Tahap Tinggi (HIP) bakal diperluaskan ke semua sekolah di Sarawak, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, ia turut membabitkan penganjuran pelbagai aktiviti sokongan yang berupaya mewujudkan input linguistik lebih baik dalam kalangan pelajar, sama ada di dalam atau di luar kelas.

“Ini bagi mewujudkan persekitaran yang cukup kompeten di sekolah yang mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Melalui HIP, persekitaran itu dapat kita wujudkan bagi mendokong usaha memperkembangkan penggunaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Wanaca HIP Zon Sarawak 2018, di sini semalam.

Bagaimanapun, Abang Mat Ali menjelaskan kejayaan usaha itu tetap bergantung kepada kombinasi empat faktor asas iaitu ketua sekolah (guru besar dan pengetua), guru, pelajar serta ibu bapa dan masyarakat.

“Setiap faktor itu memainkan peranan sokongan yang amat penting dalam proses pembelajaran oleh pelajar dan amat penting untuk menaiktaraf hasil pembelajaran pelajar.

Bagi memastikan matlamat kita dapat dicapai, kerjasama sekolah, ibu bapa dan masyarakat adalah amat penting.

“Ini kerana jalinan kerjasama itu mampu merangsang perkembangan penggunaan Bahasa Inggeris, terutama kefasihan bertutur bahasa komunikasi utama itu di luar persekitaran sekolah,” katanya.

HIP adalah program yang diperkenalkan untuk memperbaiki kebolehan penguasaan Bahasa Inggeris, dengan meningkatkan pendedahan terhadap penggunaan bahasa itu.

Malah, ia sebahagian daripada Aktiviti Sokongan Bahasa Inggeris yang disenaraikan dalam Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Berita Harian X