Jumaat, 7 September 2018 | 12:14pm
TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Ir Noor Azuan Abu Osman. - Foto Aizuddin Saad

UMT bantu penuntut baharu kurang berkemampuan

KUALA NERUS: Seramai 365 penuntut baharu yang kurang berkemampuan untuk menjelaskan yuran kemasukan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima bantuan daripada tabung dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM300 seorang.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Ir Noor Azuan Abu Osman, berkata bantuan itu diberikan kepada penuntut daripada kalangan keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM4,000 sebulan.

Beliau berkata, peruntukan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM109,546 itu adalah hasil insentif potongan zakat daripada 197 kakitangan UMT untuk membantu penuntut kurang berkemampuan yang ditawarkan tempat mengikuti pengajian sesi 2018/2019.

“Bantuan kewangan kepada penuntut yang dikategorikan asnaf ini dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka secara berperingkat sepanjang minggu jalinan mesra bermula Isnin lalu,” katanya kepada NSTP ketika ditemui hari ini.

Noor Azuan berkata, seramai 216 penuntut yang dikategorikan sebagai asnaf dan layak menerima bantuan itu berasal dari Terengganu, Kelantan (76), Kedah (21), Pahang (18), Johor (sembilan), Perak (tujuh), Sabah (empat), Melaka (tiga), Perlis (tiga), masing-masing dua dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor serta seorang dari Sarawak dan Kuala Lumpur.

Katanya, dermasiswa Al-Ikhlas adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pelan transformasi pengurusan penjanaan zakat dan wakaf serta pelaksanaan instrumen baharu iaitu infak di UMT yang sedang diusahakan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT (PISM).

“Selain dermasiswa Al-Ikhlas, UMT mewujudkan tabung dermasiswa Endowmen bagi menaja penuntut miskin termasuk anak yatim piatu.

“Penajaan berjumlah RM3,000 setahun membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM243,000 itu bakal memberi manfaat kepada 27 penuntut miskin terutamanya membabitkan anak yatim piatu,” katanya.

Ketika mengulas jumlah keseluruhan penuntut yang ditawarkan melanjutkan pengajian dalam 27 bidang pada sesi kemasukan tahun ini, Noor Azuan berkata, seramai 2,893 penuntut mendaftar untuk mengikuti program Sarjana Muda.

“Daripada jumlah ini, seramai 2,454 penuntut adalah lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi manakala 439 lagi untuk calon lepasan diploma,” katanya.

Berita Harian X