Sabtu, 11 Ogos 2018 | 4:10pm
PELAJAR bergambar ketika Seminar PT3 2018 anjuran UEM Sunrise di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim
PELAJAR bergambar ketika Seminar PT3 2018 anjuran UEM Sunrise di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

'Tanpa ilmu, siapalah kita'

GELANG PATAH: Pesanan arwah bapa bahawa ‘tanpa ilmu, siapalah kita dan apa kerjaya pada masa depan’ menjadi pendorong kepada seorang calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus memanfaatkan ilmu yang dicurahkan kepadanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, Wan Muhammad Nabil Wan Hussin, 15, adalah antara 250 peserta yang mengikuti Seminar PT3 BH Minda anjuran UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), di Dewan Sri Bestari, SMK Gelang Patah, di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui walaupun dihimpit perasaan sedih apabila arwah bapa, Wan Hussin Wan Omar meninggalkan mereka sekeluarga awal tahun ini akibat masalah jantung, namun pesanan berharga itu menjadi kata-kata semangat untuk dia terus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan.

“Pada awalnya memang saya berasa hilang semangat selepas kehilangan arwah bapa, tambahan pula tidak berapa lama lagi saya bakal menduduki peperiksaan PT3, tetapi apabila teringat kata-katanya sebelum ini, saya perlu kuat dan belajar bersungguh-sungguh untuk meneruskan kehidupan bagi membalas jasa ibu dan keluarga.

“Kata arwah bapa, ilmu itu sukar dicari tetapi pelajaran adalah harta dunia yang sangat penting untuk dikejar bagi menjamin masa depan lebih cerah dan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program seminar berkenaan.

SEBAHAGIAN pelajar yang hadir ketika Seminar PT3 2018 anjuran UEM Sunrise di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN pelajar yang hadir ketika Seminar PT3 2018 anjuran UEM Sunrise di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Program pendidikan selama dua hari yang membabitkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik itu mengetengahkan perkongsian teknik belajar secara berkesan selain kaedah menjawab soalan yang lebih efektif daripada barisan guru berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Mengulas mengenai seminar berkenaan, Wan Muhammad Nabil berkata, apabila ditawarkan menyertai program kali ini, tanpa berfikir panjang dia mengambil peluang keemasan itu untuk memperoleh input ilmu tambahan, selain mahu memanfaatkan

segala teknik dan kaedah belajar yang dikongsikan oleh penceramah sebagai persiapan bagi menghadapi peperiksaan PT3 awal Oktober ini.

Katanya, disebabkan itu juga dia tekad untuk datang awal ke program berkenaan bagi mendapat tempat duduk paling hadapan supaya lebih fokus ketika guru mengajar.

“Saya tidak mahu mensia-siakan kehadiran saya pada program ilmu kerana bukan semua pelajar mendapat peluang yang sama dan berharap program bermanfaat ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan akademik pelajar di negara ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Rena Alia Razali,15, dari SMK Taman Nusa Jaya, berkata dia beruntung apabila turut terpilih mengikuti seminar PT3 untuk fasa kedua kali ini selepas menghadiri program sama untuk fasa pertama pada April lalu.

Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pada seminar kali ini bagi mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan PT3 tidak lama lagi.

“Ilmu yang saya peroleh hari ini akan turut dikongsikan bersama rakan-rakan sekolah yang tidak dapat hadir ke seminar ini bagi membolehkan kami semua mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti,” katanya.

Info

Seminar PT3 BH Minda UEM Sunrise

- sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat UEM Sunrise bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat menerusi program pendidikan

- empat sekolah terbabit dari sekitar Johor Bahru, SMK Gelang Patah, SMK Tanjung Adang, SMK Taman Nusa Jaya dan SMK Kompleks Sultan Abu Bakar

Berita Harian X