Jumaat, 10 Ogos 2018 | 6:36pm
PENGERUSI Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim menyempurnakan perasmian Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim di Johor Bahru, hari ini. Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar. - Foto Nurul Amanina Suhaini

UTM jana RM87 juta endowmen

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh penjanaan endowmen keseluruhan berjumlah RM87 juta membabitkan Tabung Endowmen universiti dan fakulti sejak ditubuhkan pada tahun 2009 sehingga kini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata dengan hadirnya penyumbang daripada Yayasan Azman Hashim secara tidak langsung membantu usaha UTM mencapai sasaran RM500 juta menjelang tahun 2020.

Katanya, Yayasan Azman Hashim menyalurkan sebanyak RM30 juta kepada Endowmen UTM, dengan bayaran sebanyak RM5 juta setahun sejak tahun 2016.

Beliau berkata, dana itu bertujuan merancakkan program kesarjanaan dan ilmuan menerusi Biasiswa Endowmen Azman Hashim.

“Bagaimanapun, pencapaian Tabung Endowmen dilihat masih rendah berikutan kurangnya kesedaran budaya memberi, selain ekosistem yang kurang kondusif dan isu insentif cukai.

“UTM berharap lebih ramai pengurusan tertinggi universiti, kakitangan, alumni UTM serta syarikat korporat, menyumbang dalam mengumpulkan dana bagi Tabung Endowmen supaya membantu dalam pembangunan akademik di samping mengutamakan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perasmian Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim yang disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim, di sini, hari ini.

Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim yang ditubuhkan pada tahun 1997 sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Perniagaan Antarabangsa UTM.

Wahid berkata, beberapa isu berkaitan pemberian endowmen membabitkan pelbagai pihak itu akan ditambah baik termasuk pemberian insentif cukai atau rebat kepada penyumbang.

Pada majlis itu, beliau berkata, Fakulti Perniagaan itu ditubuhkan pada 1997 bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan Azman dalam meningkatkan pembangunan akademik universiti itu.

Katanya, program akademik yang dibentuk di fakulti itu menekankan pada pembangunan komunikasi, membuat keputusan, kualiti kepimpinan, selain menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan pengkhususan iaitu Strategik Pengurusan, Tekno-Keusahawanan, Pengurusan Kewangan Islam, Pengurusan Penjagaan Kesihatan serta Pengurusan Penerbangan.

“Fakulti ini turut menawarkan program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan program ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan perniagaan serta menawarkan kursus jangka pendek dan perkhidmatan perundingan,” katanya.

Berita Harian X