Jumaat, 20 Julai 2018 | 8:40pm
PENGARAH Komunikasi Korporat dan Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat (tengah) diiringi Pengurus Besar Jabatan Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Guru Besar SK Morni Pok, Abd Manap Sariman bergambar bersama calon UPSR 2018 di Dewan Raya Kampung Pok, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENGARAH Komunikasi Korporat dan Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat (tengah) diiringi Pengurus Besar Jabatan Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Guru Besar SK Morni Pok, Abd Manap Sariman bergambar bersama calon UPSR 2018 di Dewan Raya Kampung Pok, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Forest City bantu lonjak pencapaian murid

GELANG PATAH: Forest City terus komited mahu memperkasa kecemerlangan murid dalam bidang pendidikan ke tahap lebih memberangsangkan terutama di kawasan luar bandar.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat, berkata niat murni itu dapat dilaksanakan menerusi usahasama strategik dengan akhbar BH dalam menganjurkan Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) BH Didik di sekolah sekitar Gelang Patah.

"Kami sudah melaksanakan program ini selama dua tahun dengan BH dan kali ini kami menambah peserta dari sekolah lain agar lebih ramai calon UPSR menikmati peluang pendidikan percuma ini.

"Dengan penambahan nilai ini, kami berharap agar mereka ini tidak tercicir dalam pelajaran sekali gus mampu bersaing dengan murid lain baik di bandar mahupun luar bandar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Klinik UPSR BH Didik anjuran Forest City dengan kerjasama Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di sini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Jabatan Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Morni Pok.

Klinik UPSR BH-Forest City terbabit disertai seramai 120 calon UPSR 2018 daripada enam sekolah terpilih syarikat itu.

Program dua hari itu membabitkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang disampaikan oleh guru pakar dengan menggunakan format peperiksaan UPSR terkini.

Pada masa sama, syarikat korporat berkenaan turut menganjurkan Karnival Kanak-kanak Forest City yang dihadiri seramai 210 murid dan 30 guru daripada lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Aeron berkata, program berkenaan dianjurkan bagi mengimbau kembali kenangan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti seperti membuat layang-layang, gasing dan drama kanak-kanak.

"Pada karnival berkenaan, kami turut menjemput kanak-kanak kurang bernasib baik agar mereka gembira dan tidak berasa terpinggir ketika projek pembangunan mega dijalankan kerana mereka juga sebahagian daripada pembangunan itu.

"Selain itu, ia juga bertujuan merapatkan ikatan kekeluargaan dan memberikan peluang kepada golongan muda merasai pengalaman bermain permainan tradisional," katanya.

INFO

  • Forest City menerusi syarikat Country Garden Pacific View Sdn Bhd turut menaja langganan BH Didik, Minda dan Skor selama setahun.
  • Turut ditaja dua bengkel BH Didik UPSR bagi 120 murid membabitkan enam sekolah, serta seminar BH Minda PT3 dan Bengkel BH Skor SPM.
Berita Harian X