Isnin, 18 Jun 2018 | 1:48pm
PENGARAH Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PENGARAH Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Pelajar cenderung bekerja selepas dibuang sekolah

KUALA TERENGGANU: Hampir 40 peratus pelajar yang dibuang sekolah di Terengganu tidak membuat rayuan untuk kembali bersekolah dan lebih cenderung bekerja walaupun pada usia muda.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata kira-kira 1,300 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri itu yang dibuang sekolah pada 2017 dan ada pelajar serta keluarga yang tidak membuat rayuan kerana sudah hilang minat belajar, selain mempunyai masalah keluarga.

Antara penyebab tindakan dibuang sekolah ialah salah laku berulang kali. Ada pelajar berkelakuan liar digantung persekolahan dan tidak dibenarkan memasuki sekolah sehingga 14 hari.

Beliau berkata, 30 peratus kes buang sekolah disebabkan tidak hadir ke sekolah secara berterusan dan peratusan sama turut membabitkan masalah disiplin atau salah laku disiplin.

"Kebanyakan murid yang dibuang sekolah boleh diterima semula (untuk bersekolah) apabila merayu ke JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) atau PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).

"Dasar pendidikan, jika dibuang sekolah kerana ketidakhadiran, mereka boleh diterima di sekolah asal tetapi jika dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin, kita galakkan mereka ditempatkan di sekolah yang berlainan," katanya.

Shafruddin berkata, secara keseluruhan, kes pelajar dibuang sekolah masih terkawal berbanding dengan jumlah 240,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

Katanya, isu ketidakhadiran dan salah laku murid dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan negeri dan daerah yang diketuai beberapa pemimpin negeri.

"Masalah pengangkutan untuk daerah pedalaman seperti di Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun masih menjadi antara penyebab ketidakhadiran, selain beberapa faktor lain seperti kecenderungan murid tidak hadir pada hari Ahad kerana perhimpunan sekolah," katanya.

Shafruddin berkata, banyak langkah intervensi dilaksanakan JPN dan PPD untuk mengatasi masalah itu, malah pihak sekolah juga meningkatkan disiplin murid, selain intervensi yang membabitkan jabatan dan agensi lain.

"Setiap PPD juga ada mengadakan majlis pemuafakatan antara agensi dengan PPD, malah guru ada memberi kaunseling kepada pelajar secara berterusan, termasuk keluarga, jika mereka tampil mendapatkan bantuan," katanya.

Bagi membendung gejala keciciran dalam akademik, beliau berharap ibu bapa dapat memantau pergerakan anak supaya tidak mudah terpengaruh dan mengelak daripada melakukan pelbagai perkara yang mengundang pelbagai risiko dibuang, terutamanya terbabit dengan jenayah. - BERNAMA

Berita Harian X