Selasa, 27 March 2018 | 2:41pm
PENGERUSI Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) melihat sisipan Didik bersama para pelajar sempena Majlis Penyerahan Penajaan Didik oleh Yayasan Ecoworld di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Klang. - Foot Intan Nur Elliana Zakaria

Yayasan Eco World taja 20,400 sisipan Didik BH

KLANG: Yayasan Eco World menaja 20,400 naskhah sisipan Didik BH kepada 12 Sekolah Kebangsaan (SK) di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Selangor dengan nilai tajaan RM24,530.

Sekolah terbabit masing-masing menerima 50 naskhah Didik selama 34 terbitan bermula Mac ini hingga November depan.

Penyerahan replika cek berkenaan disampaikan pengerusi yayasan itu, Tan Sri Lee Lam Thye kepada Pengurus Besar Education Vertical (EV) The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Kapten (Bersara) Datuk Liew Siong Sing; Editor Bersekutu Digital dan Rencana/Laporan Khas BH, Zainudin Mohd Isa; Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Akhbar dan Pengedaran NSTP, Zattul Iffah Mohammad Zaidi dan Guru Besar SK Sungai Binjai, Mohd Hafiz Md Sharif.

Terdahulu, Lam Thye dalam ucapannya berkata, pendidikan menerusi akhbar adalah platform berkesan yang mampu menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan murid terutama membabitkan isu semasa dalam dan luar negara.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah NSTP berkata, Yayasan Eco World amat menitikberatkan aspek pendidikan bagi melahirkan modal insan cemerlang pada masa hadapan, di samping komited untuk terbabit dalam segala program yang dapat memanfaatkan pelajar di negara ini.

"BH adalah akhbar yang dikenali, berlatar belakang menarik dan berwibawa sejak 61 tahun lalu, malah terbukti memberikan banyak sumbangan kepada setiap lapisan masyarakat negara ini.

"Sebanyak RM5 juta dibelanjakan melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) yayasan ini pada setiap tahun, dan saya yakin sisipan keluaran BH termasuk Didik, Minda, Skor serta Varsiti ini dapat dimanfaatkan pelajar untuk meraih kecemerlangan membanggakan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, selain bahan bantu belajar dan sumber rujukan dalam kelas.

"Sisipan Didik ini membolehkan murid membuat latihan daripada pelbagai topik mata pelajaran dan dapat mendedahkan murid dengan soalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

"Seramai 10 murid SK Sungai Binjai memperoleh keputusan 6A dalam UPSR tahun lalu dan kami berharap penajaan Yayasan Eco World ini dapat melonjakkan lagi pencapaian akademik murid sekolah ini," katanya.

Yayasan Eco World adalah badan amal yang ditubuhkan oleh Eco World Development Group Bhd, dengan memberi keutamaan kepada agenda pendidikan menerusi Program Bantuan Pelajar.

INFO

12 sekolah tajaan Didik Yayasan Eco World

* SK Batu Bertangkup, Perlis

* SK Bintong, Kangar, Perlis

* SK Kampong Salang, Kangar, Perlis

* SK Padang Besar Selatan, Kangar, Perlis

* SK Padang Kota, Kangar Perlis

* SK Lubuk Sireh, Padang Besar, Perlis

* SK Titi Tok Bandar, Kangar, Perlis

* SK Sungai Binjai, Klang, Selangor

* SK Felda Mata Air, Padang Besar, Perlis

* SK Felda Rimba Mas, Padang Besar, Perlis

* SK Dato Shaari, Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah

* SK Seri Pantai, Kuala Kedah

Berita Harian X