Khamis, 22 March 2018 | 4:44pm
ROSLEE (kanan) menerima nota serah tugas daripada Prof Noor Aziah (kiri) disaksikan Prof Noor Azlan (dua dari kanan) dan pegawai kanan UKM.
ROSLEE (kanan) menerima nota serah tugas daripada Prof Noor Aziah (kiri) disaksikan Prof Noor Azlan (dua dari kanan) dan pegawai kanan UKM.
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, Prof Madya Dr Roslee Rajikan.
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, Prof Madya Dr Roslee Rajikan.

Dr Roslee dilantik TNC UKM yang baharu

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni (PPMPA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Roslee Rajikan dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang baharu berkuat kuasa 15 Mac 2018.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, di sini hari ini, pelantikan Roslee yang juga Pengetua Kolej Rahim Kajai (KRK) UKM, untuk tempoh tiga tahun itu bagi menggantikan Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Januari lalu.

Roslee, 48, yang berasal dari Muar, Johor memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Dietetik) dari UKM; Sarjana Pemakanan dan Metabolisme dari University of Aberdeen, Scotland (1996) dan Doktor Falsafah (Sains Tumbuhan dan Pemakanan) dari University of Glasgow, Scotland (2005).

Beliau memulakan perkhidmatan di UKM pada 1994 sebagai tutor dan pakar dalam bidang Pemakanan Klinikal dan Dietetik dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM. 

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata pertukaran sesiapa yang menggantikan jawatan TNC adalah perkara biasa bagi semua perjawatan atas lantikan untuk semua universiti awam (UA) bertujuan memantapkan lagi pengurusan universiti.

"Tentunya ada perubahan dan kepimpinan baharu dalam mencorakkan pentadbiran pelajar UKM supaya lebih bersifat efektif dan berkesan dalam membawa pelajar ke arah yang lebih terkehadapan.

"Saya menghargai sumbangan Prof Noor Aziah sepanjang empat tahun terbabit dalam mengubah persepsi mahasiswa UKM yang lebih kompleks dalam pembangunan alumni dan hal ehwal pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, di sini, baru-baru ini.

Berita Harian X