Isnin, 22 Januari 2018 | 12:34pm
DATUK Dr Wahid Omar (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek Tabung Endowment kepada mahasiswa ketika Majlis Amanat Naib Canselor 2018 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. - Foto Hairul Anuar Rahim
DATUK Dr Wahid Omar (tengah) menyampaikan ucapan ketika Majlis Amanat Naib Canselor 2018 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. - Foto Hairul Anuar Rahim

UTM sasar jana endowmen RM22 juta

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan penjanaan endowmen berjumlah RM22 juta tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata penjanaan endowmen RM20 juta disasarkan tahun lalu membabitkan masing-masing RM10 juta daripada Tabung Endowmen Universiti dan Tabung Endowmen Fakulti.

Katanya, hasil sokongan padu pengurusan tertinggi universiti, kakitangan, alumni UTM dan syarikat korporat, Tabung Endowmen Universiti berjaya mengumpulkan dana RM11.3 juta tahun lalu.

"Jumlah ini melepasi sasaran RM10 juta ditetapkan pihak universiti. Pencapaian ini dibantu penyumbang baharu, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebanyak RM3 juta.

"Bagaimanapun, pencapaian Tabung Endowmen Fakulti masih rendah dengan keseluruhan kutipan RM477,535 masih jauh daripada sasaran RM10 juta.

"Namun dengan kefahaman dan momentum semakin baik, diyakini prestasi fakulti dalam pengumpulan dana endowmen akan meningkat tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor UTM di Dewan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pro Naib Canselor (Strategi) UTM, Prof Dr Shahrin Mohammad.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Wahid berkata, UTM menyasarkan muncul antara 50 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pada 2020, sekali gus menjadi institusi akademik serta penyelidikan utama dunia.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah menggagas Pelan Global UTM 2012-2020 menerusi enam bidang tumpuan utama sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Bidang tumpuan utama itu meliputi kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan pembabitan industri dengan komuniti, kelestarian kampus termasuk infrastruktur, selain kesohoran global serta penjenamaan," katanya.

Berita Harian X