Jumaat, 19 Januari 2018 | 4:59pm
WARTAWAN Sambilan Berita Harian/Harian Metro, Rosman Shamsudin meraikan kejayaan menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian sempena Majlis Istiadat Konvokesyen di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

10 tahun belajar baru genggam ijazah

bhnews@bh.com.my

TANJUNG MALIM: Impian wartawan sambilan Berita Harian dan Harian Metro, Rosman Shamsudin, 45, menggengam segulung ijazah tercapai walaupun terpaksa menunggu 10 tahun untuk merealisasikan impian itu.

Beliau yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor, dekat sini, menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian sempena istiadat konvokesyen di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dekat sini, hari ini.

Beliau mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) di bawah kerjasama UPSI dan Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC) yang terletak di Cyberjaya secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) selama empat tahun.

Rosman berkata, beliau pernah belajar secara PJJ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Perhubungan Awam lima tahun lalu, namun terpaksa berhenti di semester terakhir kerana sibuk dengan tugas sebagai pemimpin masyarakat ketika itu.

Beliau berkata, kegagalan menghabiskan pengajian di UiTM dengan perbelanjaan wang sendiri tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan kembali impian memiliki ijazah pertama dalam kerjaya sebagai guru dan wartawan sambilan.

Katanya, ijazah diterima begitu bermakna kepada dirinya kerana terlalu banyak pengorbanan dan dugaan yang terpaksa dihadapi sepanjang belajar di UiTM dan KIC.

"Selepas berhenti belajar di UiTM, saya mengambil masa kira-kira setahun untuk pulihkan semangat untuk kembali belajar dalam PPG dan kali ini saya nekad habiskan pengajian.

"Bukannya mudah untuk mencapai impian ini, termasuk terpaksa melepaskan jawatan penting dalam masyarakat bagi menjamin masa depan kerjaya dan keluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah berkenaan, hari ini.

Majlis perasmian dan penyampaian ijazah disempurnakan oleh Presiden KIC, Bismillah Khatoon Abdul Kader.

Rosman berkata, isterinya, Intan Efazila Md Yusop yang sudah mempunyai Ijazah Sarjana Bahasa Melayu dan juga seorang guru di SK Aminudin Baki di Slim River banyak memberi sokongan dan motivasi sepanjang dirinya belajar di KIC.

Berita Harian X