Jumaat, 19 Januari 2018 | 2:44pm
AERON (kiri), Dr Thock (tengah) dan Liu bertukar dokumen perjanjian kerjasama (MoU) pendidikan yang diadakan di Politeknik Country Garden Guangdong, China, hari ini. - Foto NST.

CGPV jalin kerjasama pendidikan di China

GUANGDONG: Pemaju utama Forest City, Wilayah Iskandar Malaysia, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua institusi pendidikan bagi meningkat lagi kerjasama bidang kemahiran, penyelidikan dan tenaga kerja antara Malaysia dan China.

Kerjasama antara CGPV itu membabitkan Politeknik Country Garden Guandong di sini, dan Universiti Kolej Southern yang beroperasi di Johor Bahru.

MoU itu menyasarkan untuk menggilap bakat baharu dalam bidang kemahiran bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan global.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Politeknik Country Garden Guangdong dalam daerah Qingyuan, di sini.

Pada majlis itu, CGPV diwakili oleh Pengarah Komunikasi Korporat, Aeron Munajat, manakala Universiti Kolej Southern diwakili oleh Presidennya, Dr Thock Kiah Wah dan Politeknik Country Garden Guangdong oleh Presidennya, Liu Huijian.

Yang turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu, Ketua Sektor Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Norbiha Buang; Pengerusi Universiti Kolej Southern, Datuk Tan Meng Seng dan timbalannya, Mok Chek Hua.

Sementara itu, Aeron berkata, melalui kerjasama itu, membolehkan kedua-dua institusi pendidikan terbabit berkongsi idea dan menerokai bidang baharu dalam bidang akademik dan kurikulum.

Beliau berkata, melalui kerjasama pintar itu juga kedua-dua institusi pendidikan terbabit dapat melaksanakan pertukaran pelajar dan pensyarah bagi beberapa program yang dikenal pasti seperti pengurusan hotel dan program pra-universiti.

Selain itu, katanya, kedua-dua pihak juga boleh menjalankan kerjasama penyelidikan, forum dan program berkembar serta bertukar maklumat dalam bidang penyelidikan masing-masing.

"Pelajar yang menamatkan pengajian di kedua-dua institusi pendidikan ini akan menjalani latihan amali di Forest City untuk tempoh setahun sebelum diserapkan ke CGPV sebagai pekerja tetap," katanya.

Info

* Universiti Kolej Southern ditubuhkan pada 1990

* Menawarkan 57 program akademik dengan 42 program mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

* Politeknik Country Garden Guangdong.

* Kolej vokasional swasta ini ditubuhkan pada 2014 oleh Kumpulan Country Garden.

* Menawarkan pendidikan percuma membantu pelajar miskin.

Berita Harian X