Ahad, 17 Disember 2017 | 6:07pm

FullAMark berwajah baharu, MindCampus sedia info biasiswa

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Bhd hari ini melancarkan aplikasi MindCampus serta wajah baharu portal pendidikan interaktif, FullAMark.

Aplikasi dan portal berkenaan menyediakan kandungan lebih segar serta penuh manfaat bukan saja kepada pelajar sekolah, malah mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pelancarannya di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) Seri Kembangan, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali.

Yang hadir sama, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya dan Ketua Bahagian Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

FullAMark atau e-pembelajaran interaktif diperkenalkan sejak tahun lalu, kini melalui perubahan menerusi paparan muka depannya yang lebih segar dan bermaklumat yang pasti memberi pengalaman berbeza buat penggunanya.

Selain itu, ia menyediakan ruang 'Latest Buzz' yang menyediakan artikel di peringkat pendidikan rendah dan menengah, yang mana tatapan itu boleh diakses oleh pengguna menerusi laman web www.fullamark.com.my.

Sementara MindCampus pula adalah aplikasi baru yang menyediakan pelbagai maklumat dan kemudahan kepada penggunanya terutama mereka yang mahu melanjutkan pengajian di peringkat IPT.

Abdul Jalil berkata, Media Prima terutama NSTP sejak 30 tahun lalu sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara menerusi penerbitan segmen dan produk pendidikan di bawah sisipan Didik, Skor, Minda, School Times, Varsiti, Higher Ed dan Bestari.

Selain itu beliau berkata, turut diadakan seminar dan klinik pendidikan khusus bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dikendalikan BH.

"Mulai tahun lalu, kita sudah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan mencorakkan kandungan pendidikan ini ke alam digital menerusi pengenalan FullAMark.

"Dengan wajah baru ini, ia turut menyediakan ruangan e-cikgu, yang mana pelajar yang berdepan masalah menjawab soalan, boleh terus merujuk kepada e-cikgu dan akan ada cikgu jawab nanti," katanya.

Lebih menarik juga ketika ini, FullAMark sedang mengadakan promosi pakej kombo membabitkan tiga, enam dan 12 bulan langganan dengan harga serendah RM35 bagi empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sementara itu, Rafiq Razali berkata, MindCampus diwujudkan sebagai platform untuk membina pusat sehenti pendidikan negara seiring perubahan penggunaan teknologi dan medium pendidikan.

Beliau berkata, selain kursus pengajian ditawarkan, menerusi aplikasi itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai tawaran biasiswa yang disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta.

Aplikasi MindCampus ini sudah boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store bagi pengguna iOS sementara di Play Store bagi pengguna Android.

KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali (dua kanan); Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Yushaimi Maulud Yahya (kanan) dan Ketua Bahagian Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi ketika melancarkan wajah baru FullAMark dan aplikasi baharu MindCampus di MIECC, The Mines. - Foto NuruL Syazana Rose Razman
KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali (dua kanan); Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Yushaimi Maulud Yahya (kanan) dan Ketua Bahagian Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi ketika melancarkan wajah baru FullAMark dan aplikasi baharu MindCampus di MIECC, The Mines. - Foto NuruL Syazana Rose Razman
Berita Harian X