Sabtu, 18 November 2017 | 6:29pm
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat kanan), Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar (kanan) menyaksikan pemotongan kek oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Datuk Rashidah Md Arif (empat kiri) meraikan persaraan beliau pada Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama- Sama Guru 2017 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Shah Alam. - Foto Faiz Anuars

Program BH terbukti berkesan, bantu akademik murid

SHAH ALAM: BH menjalin kerjasama dengan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi menganjurkan pelbagai program pendidikan sepanjang 2018 termasuk langganan akhbar BH.

Menerusi jalinan kerjasama itu, sebanyak 57 SBT bakal memanfaatkan sisipan pendidikan BH, iaitu Didik untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Minda (Pentaksiran Tingkatan 3) dan Skor (Sijil Pelajaran Malaysia) sebagai bahan bantu mengajar (BBM) di dalam kelas.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Datuk Rashidah Md Arif, berkata pelbagai program diperkenalkan BH banyak membantu pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) khususnya menerusi penerbitan sisipan pendidikan dan juga buku latihan.

"Kerjasama kerajaan mahupun swasta amat diperlukan dalam menjana sinergi bagi menghasilkan tenaga pengajar yang inovatif dan kreatif.

"Kaedah pengajaran kini semakin canggih, sehubungan itu, guru di negara ini perlu melengkapkan diri dengan kemahiran bagi melonjakkan prestasi pendidikan.

"Saya berharap inisiatif ini dapat dijadikan contoh kepada institusi korporat lain dalam memperkukuhkan prestasi pendidikan negara," katanya ketika merasmikan Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama-sama Guru 2017, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarah BPSBPSK, Shamsudin Mustapha dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Pada majlis itu, Rashidah turut menyerahkan simbolik pelancaran Program Jalinan Kerjasama SBT - BH yang bakal dilaksanakan pada tahun 2018.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, BH adalah akhbar pertama yang mengenalkan konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) di negara ini sejak 1984 dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 29 Jun 1985.

"Pada tahun ini lebih 2,000 sekolah sudah melanggan BH dan kami amat menghargai kerana ada antaranya yang setia bersama BH sejak 20 tahun lalu.

"Malah, pihak sekolah memberikan komen positif kerana penggunaan sisipan ini berjaya meningkatkan akademik mereka. Ini dibuktikan apabila sembilan daripada 10 sekolah terbaik UPSR 2016 di Selangor adalah rakan sekolah BH," katanya.

Kira-kira 400 guru daripada 200 sekolah rendah dan menengah di Lembah Klang diraikan pada majlis itu sebagai menghargai sokongan mereka yang setia melanggan BH sejak 20 tahun lalu.

INFO:

- Sisipan BH meliputi Didik, Minda dan Skor diterbitkan setiap Isnin hingga Rabu .

- NSTP turut memperkenalkan portal pendidikan interaktif FullAMark pada Mei 2016 sebagai inisiatif baharu secara atas talian selari dengan pembelajaran abad ke-21.

Berita Harian X