Jumaat, 17 November 2017 | 3:21pm
NAIB Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim beramah mesra dengan penerima Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-12, di Kuantan, hari ini. - Foto Zulkepli Osman

Kumpulan pertama graduan dwiijazah automotif UMP, HsKA

KUANTAN: Kumpulan pertama graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), Jerman akan menerima dwiijazah mereka pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-12 di sini, esok.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata mereka adalah antara 20 graduan yang menyertai program kerjasama dwiijazah dilaksanakan antara kerjasama UMP serta HsKA sejak beberapa tahun lalu.

"Graduan berkenaan adalah daripada program Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik dan buat pertama kalinya membabitkan program Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif.

"Ia akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden HsKA, Prof Dr Rer Nat Dietr Hopfel.

"Pelajar yang mengikuti program dwiijazah diterapkan dengan nilai tambah termasuk budaya bekerja, cara berfikir dan melaksanakan tugas seperti jurutera di Jerman," katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-12, di sini, hari ini.

UMP adalah universiti awam pertama di negara ini menganugerahkan dwiijazah kepada graduannya menerusi kerjasama dengan HsKA, universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan di Jerman.

Ia membolehkan seseorang pelajar mendapat dua ijazah daripada dua universiti berbeza dengan mengikuti tempoh pengajian empat tahun setengah di UMP serta latihan praktikal.

Daing Nasir berkata, seramai 2,845 graduan bakal menerima ijazah meliputi 58 orang graduan kedoktoran, 211 graduan sarjana, 181 graduan sarjana eksekutif, 1762 graduan sarjana muda, 34 graduan dwi ijazah, 241 graduan diploma dan 315 graduan diploma eksekutif.

Katanya, seramai 23 graduan akan menerima anugerah khas pada majlis konvokesyen yang bakal disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UMP.

"Antara anugerah akan diberikan adalah Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Emas Universiti, Kecemerlangan Yayasan Pahang, Kecemerlangan Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Srikandi Matahari.

"Mereka ini adalah 'bintang-bintang' UMP yang bakal menerima anugerah khas di bawah kategori tertentu, kecemerlangan ditonjolkan bukan sahaja dalam bidang akademik malah kokurikulum serta kerja-kerja sukarelawan terhadap komuniti," katanya.

Beliau berkata, UMP turut memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu Kecemerlangan Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat sumbangan UMP Advanced Education dan Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita sumbangan Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).

Berita Harian X