Isnin, 6 November 2017 | 2:42pm
CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, Mohamad Sahrul Ezham Hamzah, 17, daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu menduduki peperiksaan di bilik khas Wad Dahlia, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, berikutan mengalami masalah tulang belakang (TiBi Tulang). - Foto Syamsi Suhaimi
CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, Mohamad Sahrul Ezham Hamzah, 17, daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu menduduki peperiksaan di bilik khas Wad Dahlia, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, berikutan mengalami masalah tulang belakang (TiBi Tulang). - Foto Syamsi Suhaimi

Duduki SPM di hospital

KOTA BHARU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbabit dalam kemalangan jalan raya Jumaat lalu, menduduki peperiksaan itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddin Mohd Husian, 17, yang juga pelajar Maahad Pengajian Islam (MPI) di sini, kemalangan di Jalan Dato Lundang ketika dalam perjalanan menghadiri kelas tambahan kira-kira jam 8.30 malam, apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan dia cedera di kaki kanan, selain di kepala akibat terjatuh daripada motosikal.

"Disebabkan kemalangan itu, saya terpaksa menjawab kertas peperiksaan di atas katil hospital hari ini dalam keadaan kesakitan, namun itu bukan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik.

"Sepanjang tiga hari berada di dalam wad, guru dan rakan sekelas banyak membantu saya mengulang kaji pelajaran selain memberi nota," katanya ketika ditemui di Bilik Tutorial HUSM, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Seorang lagi calon, Nur Anis Azira Zakaria, 17, menduduki peperiksaan di HUSM, akibat kemalangan jalan raya pada 22 Oktober lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol itu, berkata dia terbabit kemalangan apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lagi motosikal kira-kira jam 5 petang, di Kampung Jerus, Selising.

"Kemalangan itu menyebabkan tulang bahu kiri dan pinggul kanan patah. Pada 31 Oktober lalu saya terpaksa menjalani pembedahan dengan memasukkan besi di bahagian terbabit.

"Saya menjawab kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dalam kesakitan, tapi semangat untuk berjaya menyebabkan saya melawan kesakitan itu," katanya yang memperolehi 4A dalam SPM percubaan.

Berita Harian X