Jumaat, 3 November 2017 | 3:22pm
PROF Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (tengah) bersama Timbalan Naib Canselor dan Pegawai Kanan menunjukkan poster acara yang akan diadakan pada Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 18-22 November ini selepas sidang media majlis tersebut di Hotel Seri Pacific. - Foto Saddam Yusoff

5,935 graduan UUM terima ijazah

KUALA LUMPUR: Seramai 5,935 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama lima hari, bermula 18 November depan di kampus induk universiti itu di Sintok, Kedah.

Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Mohamad Mustafa Ishak, berkata daripada jumlah itu, 4,439 adalah graduan sarjana muda dan 1,496 graduan pascasiswazah.

Beliau berkata, konvokesyen kali ini juga menyaksikan 499 graduan bukan warga negara berjaya menamatkan pengajian dan jumlah itu membuktikan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi negara.

"Majlis konvokesyen kali in akan dimulakan dengan pemasyhuran Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah sebagai Canselor UUM yang baharu," katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen UUM Ke-30 di sini, hari ini.

Pada sesi itu juga, UUM mengurniakan ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) kepada Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng (PhD Tanggungjawab sosial Korporat) dan Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan (PhD Seni Kulinari).

Berita Harian X