Khamis, 2 November 2017 | 11:55am
DR Ho Weang Kee (dua dari kanan) menerima Anugerah L'Oreal - UNESCO bagi Wanita dalam Sains 2017 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Rohanis Shukri
DR Ho Weang Kee (dua dari kanan) menerima Anugerah L'Oreal - UNESCO bagi Wanita dalam Sains 2017 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Rohanis Shukri

Data cara hidup, DNA kesan kanser payudara

KUALA LUMPUR: "Sebagai wanita dan rakyat Malaysia, saya berasa sangat bertanggungjawab untuk menghasilkan inovasi membantu golongan Hawa di negara ini melawan kanser payudara yang menjadi penyerang serta pembunuh nombor satu golongan itu."

Demikian iltizam saintis tempatan, Dr Ho Weang Kee yang berjaya membangunkan alat mengenal pasti individu berisiko tinggi menghidap kanser payudara berdasarkan maklumat gaya hidup dan deoxyribonucleic acid (DNA), untuk pengesanan awal.

HO Weang Kee. - Foto Rohanis Shukri
HO Weang Kee. - Foto Rohanis Shukri

Beliau yang juga penyelidik dari University of Nottingham Malaysia berkata, satu daripada cara membolehkan pengesanan awal kanser payudara ialah melalui saringan terhadap setiap wanita secara berkala tetapi langkah itu tidak mampu dilakukan.

Menyedari masalah itu dan berbekalkan latar belakangnya sebagai ahli statistik, beliau mengambil inisiatif membangunkan alat penilaian risiko kanser payudara yang menggunakan maklumat cara hidup dan DNA seseorang wanita.

"Alat ini akan mengoptimumkan strategi penyaringan kanser payudara yang sedia ada dengan menyusun populasi mengikut kemungkinan mendapat penyakit itu," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Inovasi itu menyaksikan Dr Weang Kee terpilih sebagai seorang daripada tiga saintis wanita yang menerima Anugerah L'Oreal - Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Wanita dalam Sains 2017, baru-baru ini.

Dua lagi saintis wanita yang memperoleh anugerah sama daripada sejumlah 208 permohonan diterima penganjur ialah Dr Jasy Liew Suet Yan dan Dr Teh Su Yean dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Mengulas lanjut, Dr Weang Kee berkata, ketika ini wanita berumur 50 tahun ke atas digalakkan untuk menjalani mamogram, tetapi hampir separuh daripada pesakit kanser payudara yang didiagnosis adalah lebih muda.

Sehubungan itu, katanya, alat berkenaan membolehkan individu yang berisiko tinggi disaring pada umur lebih muda dan kerap berbanding mereka dalam kategori kurang berisiko.

Beliau berkata, proses itu akan memanfaatkan sumber penjagaan kesihatan secara optimum, sekali gus meminimumkan risiko menghidap kanser payudara.

"Saya berharap inovasi ini bukan sahaja dapat membantu pengesanan awal risiko kanser payu dara dan meningkatkan kesedaran wanita untuk mengamalkan gaya hidup sihat tetapi juga mengubah kehidupan masyarakat," katanya.

INFO

  • Di Malaysia, dianggarkan satu daripada 20 wanita menghidap kanser payudara dalam hayat mereka
  • Kanser payudara boleh sembuh jika dikesan awal dengan kadar survival lima tahun pesakit tahap satu mencecah 98 peratus
Berita Harian X