Sabtu, 28 Oktober 2017 | 1:59pm
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan menyampaikan anugerah Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Muhammad Idris Saleh sempena Upacara Konvokesyen Ke-55 USM, di Pulau Pinang, hari ini. - Foto Danial Saad
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan berangkat mempengerusikan Upacara Konvokesyen Ke-55 USM, di Pulau Pinang, hari ini. - Foto Danial Saad

Bezakan gerak hati, naluri - titah Raja Perlis

GEORGETOWN: Graduan Universiti Sains Malaysia (USM) disaran supaya bijak membezakan gerak hati dan naluri sebagai persiapan mendepani kehidupan yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah ini disebabkan kedua-dua perkara itu sering diambil mudah, walaupun ada perbezaan yang jarang diperkatakan.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, gerak hati bakal membina perwatakan masing-masing dan membina kematangan serta kebijaksanaan, sekali gus membezakan mereka dengan orang lain.

"Sejak di sekolah hingga universiti, saudara saudari telah mendengar 'the voice of authority' tentang bagaimana dunia berfungsi serta dididik dengan apa yang boleh dan tidak, selain didedahkan dengan apa yang baik, janggal dan langsung tidak boleh diterima masyarakat.

"Namun kini, saudara saudari bakal menempuhi alam kehidupan baharu yang kemudiannya dididik oleh majikan atau mentor berteraskan kebijaksanaan dan pengalaman mereka, pada zaman mereka. Namun, belajarlah mendengar suara hati masing-masing kerana ia lebih bersifat rasional.

"Gunakan gerak hati ini dengan sebaik mungkin dan diseimbangkan dengan penaakulan rasional agar kita dapat membuat keputusan terbaik dalam kita berhadapan dengan cabaran mendatang," titah baginda ketika merasmikan Upacara Konvokesyen Ke-55 USM di sini, hari ini.

Dalam istiadat hari ini, seramai 574 graduan membabitkan 527 lepasan doktor falsafah (PhD) dan 25 sarjana dalam pelbagai bidang menerima ijazah masing-masing.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pendidikan (Kepujian), Thong See Wai, dinobat sebagai penerima Pingat Emas Canselor.

Pada upacara itu juga, pakar bedah jantung kanak-kanak, Prof Dr Antonio F Corno dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan, manakala bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Datuk Dr Muhammad Idris Saleh pula dianugerahkan dengan gelaran Profesor Emeritus.

Penganugerahan itu susulan sumbangan kedua-dua tokoh berkenaan dalam bidang masing-masing, bukan sahaja di USM malah bagi pembangunan negara di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, baginda bertitah, graduan USM juga dinasihat supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kerana setiap kejayaan sebenarnya bukanlah milik mereka sepenuhnya.

"Ia juga adalah hasil daripada usaha, dorongan dan doa daripada mereka yang banyak berkorban tanpa kita sedari. Berterima kasih dan sanjungi jasa serta budi ibu bapa. Bersyukurlah dengan hakikat bahawa saudara saudari sentiasa dekat dengan cendekiawan di universiti ini," titah baginda.

Berita Harian X