Jumaat, 27 Oktober 2017 | 10:05am
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal. - Foto Azhar Ramli

3,180 graduan UniMAP terima ijazah mulai esok

ARAU: Seramai 3,180 graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menerima ijazah mereka pada majlis Konvokesyen ke-12 yang berlangsung selama tiga hari, bermula esok sehingga Isnin.

Majlis penganugerahan ijazah bagi sesi pertama di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP, di sini akan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata daripada 3,180 graduan, 75 akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 130 menerima Ijazah Sarjana Sains dan 58 penerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan.

"Seramai 1,424 graduan pula menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 562 penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, 466 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan 329 graduan menerima Diploma Kejuruteraan.

"Buat julung kalinya, konvokesyen kali ini juga menyaksikan kohort pertama graduan Komunikasi Media Baharu dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi menerima ijazah, iaitu seramai 136 graduan," katanya pada sidang media, hari ini.

Zul Azhar berkata, pihaknya juga berbesar hati apabila kajian kebolehpasaran graduan (GE) yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi semasa konvokesyen kali ini mendapati 82.5 peratus graduan memperoleh pekerjaan.

"Jumlah itu meningkat 6.76 peratus berbanding 75.39 peratus berbanding tahun lalu.

"Pencapaian ini didorong faktor keyakinan pihak majikan, terutama sektor perindustrian terhadap kemampuan graduan UniMAp yang kompeten dan sedia mahir.

"Ini membuktikan kemampuan universiti ini melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri," katanya.

Berita Harian X