Khamis, 26 Oktober 2017 | 11:57am
PEMENANG anugerah Loreal - Unesco Women In Science 2017, Dr Jasy Liew Suet Yan. - Foto Rohanis Shukri
PEMENANG anugerah Loreal - Unesco Women In Science 2017, Dr Jasy Liew Suet Yan. - Foto Rohanis Shukri

Bangunkan sistem kesan tanda kemurungan

KUALA LUMPUR: Masalah kemurungan dalam kalangan penduduk global kian membimbangkan apabila laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah individu mengalaminya meningkat sebanyak 18 peratus antara 2005 hingga 2015.

Di Malaysia, dilaporkan anggaran empat daripada 10 penduduk mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan akibat tekanan hidup.

Saintis wanita, Dr Jasy Liew Suet Yan, berkata namun 'sikap sensitif' masyarakat di negara ini yang tidak prihatin dan kurang terbuka membincangkan isu itu menyebabkan individu mengalami simptom masalah berkenaan tidak menyedari diri mereka memerlukan bantuan perubatan.

Menyedari kesukaran mengenal pasti simptom itu menerusi mata kasar, beliau membangunkan satu kajian memfokus pada sistem pengesan tanda kemurungan dengan menganalisis corak emosi dipamerkan melalui penulisan dalam media sosial bagi memberikan bantuan dari peringkat awal.

Isyarat linguistik

Dr Suet Yan berkata, dalam keadaan dunia digital kini yang menyaksikan penggunaan media sosial sangat meluas, beliau percaya bahawa tanda kemurungan dialami individu boleh dikesan melalui saluran komunikasi itu.

"Sasaran kajian saya ialah menyiasat dan mengenal pasti corak emosi berkaitan kemurungan melalui teks, bicara serta paparan ditulis individu.

"Dengan menggunakan sistem pengesan emosi automatik, sebuah mesin model dihasilkan untuk mengenal pasti corak kemurungan menerusi penulisan individu dalam media sosial.

"Mesin ini akan mengesan isyarat linguistik yang dikaitkan dengan kemurungan, sekali gus memberitahu sama ada seseorang itu mengalami masalah berkenaan atau sebaliknya," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

DR Suet Yan menerima Anugerah L'Oreal-UNESCO bagi Wanita dalam Sains 2017 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Rohanis Shukri
DR Suet Yan menerima Anugerah L'Oreal-UNESCO bagi Wanita dalam Sains 2017 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Rohanis Shukri

Terima anugerah

Inovasi Dr Suet Yan itu menyaksikan beliau terpilih sebagai seorang daripada tiga penerima Anugerah L'Oreal - Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Wanita dalam Sains 2017.

Dua lagi saintis wanita yang memperoleh anugerah sama daripada sejumlah 208 permohonan diterima penganjur ialah Dr Ho Weang Kee dari University of Nottingham Malaysia dan Dr Teh Su Yean (Universiti Sains Malaysia/USM).

Mengulas lanjut, Dr Suet Yan berkata, melalui hasil kajian dijalankan, usaha mengesan kemurungan dapat diperluas dan secara langsung membantu membangunkan strategi yang relevan untuk mengawal emosi.

"Ketika mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD), saya mendapati ramai rakan sebaya menunjukkan tanda kemurungan dan tekanan, selain ada terbaca laporan menyatakan bahawa seorang daripada dua pelajar peringkat PhD mengalami masalah psikologikal.

Bendung kemurungan

"Oleh itu, saya tahu masalah emosi seperti ini serius tetapi kurang diketengahkan lalu terdorong membangunkan kajian berkaitan," katanya.

Dr Suet Yan berkata, sistem pengesan tanda kemurungan yang dibangun dan akan dimantapkan berterusan menggunakan geran anugerah itu, bukan sahaja dapat menggalakkan perkembangan teknologi tetapi juga membantu pengesanan dan rawatan dari peringkat awal.

"Membendung masalah kemurungan amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan, mengurangkan kadar bunuh diri dan meringankan beban masalah kesihatan mental dalam masyarakat," katanya.

PROFIL

Dr Jasy Liew Suet Yan

Umur: 32 tahun

Jawatan: Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Komputer, USM

Pencapaian: Anugerah L'Oreal-UNESCO bagi Wanita dalam Sains 2017

Berita Harian X