Selasa, 24 Oktober 2017 | 6:57pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Naib Chanselor UKM, Prof. Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (kiri), Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (dua dari kanan), Pengerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah kementerian pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (kanan) pada majlis pelancaran Malaysia English Assessment (MEA) yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Semua graduan universiti awam disasar fasih Bahasa Inggeris

BANGI: Semua graduan universiti awam disasarkan untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap B2 (bertutur dengan fasih) mengikut skala Common European Frame Work of References for Languages (CEFR) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi Malaysia English Assessment (MEA), iaitu kaedah pentaksiran Bahasa Inggeris baharu, yang dilancarkan hari ini.

Katanya, MEA yang selari dengan piawaian CEFR diwajibkan kepada semua mahasiswa universiti awam dalam usaha meningkatkan kemahiran mereka menguasai Bahasa Inggeris dan sebagai persiapan menuju alam pekerjaan.

"MEA akan membawa anjakan paradigma dalam bidang pentaksiran Bahasa Inggeris serta bakal mengubah sistem pendidikan tinggi di negara ini.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) melawat ke tapak pameran pada majlis pelancaran Malaysia English Assessment (MEA) yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Ia sudah pun dimulakan di semua universiti awam bermula pada September lalu dengan sistem pentaksiran ini diserap dalam kursus wajib Bahasa Inggeris sedia ada, serta dilaksanakan mengikut kaedah masing-masing selepas mendapat kelulusan Senat.

"Kami mensasarkan graduan kita untuk sekurang-kurangnya berada pada tahap B2 dalam tempoh tiga hingga empat tahun, dan buat masa ini mereka perlu sekurang-kurangnya berada pada tahap B1 (bertutur dengan kosa kata terhad)," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran MEA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Dr Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Idris berkata, MEA mengandungi dua komponen iaitu MEA 1 membabitkan pentaksiran berterusan bagi kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur.

MEA 2 pula, katanya, merangkumi pentaksiran prestasi dalam situasi sebenar yang akan ditempuhi dalam alam pekerjaan melalui kurikulum tambahan dan kokurikulum, kolaborasi antara disiplin, sumber atas talian, pembabitan komuniti, kerjasama industri-akademik dan pembabitan global.

"Terdapat tiga fasa pembangunan MEA, iaitu pertama mewujudkan bank soalan dikenali sebagai Arkib Ujian Bahasa Inggeris Pendidikan Tinggi (HELTR) berpusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diwujudkan dan semua universiti awam akan berkongsi soalan Bahasa Inggeris masing-masing untuk dikongsi bersama.

"Fasa kedua ialah pembinaan spesifikasi ujian untuk pentaksiran formal dan tidak formal, dan fasa ketiga menerbitkan Buku Panduan MEA dan Manual Penggunaan Repositori. Ia dijangka selesai pada penghujung 2018," katanya.

INFO

6 skala kemahiran Bahasa Inggeris CEFR

* A1 - Hanya mampu berkomunikasi mengenai diri sendiri

* A2 - Mampu berkomunikasi dalam bahasa mudah dan rutin

* B1 - Bertutur dengan kosa kata terhad

* B2 - Bertutur dengan fasih

* C1 - Mampu mengajar Bahasa Inggeris

* C2 - Penutur asli

Berita Harian X