Selasa, 24 Oktober 2017 | 3:19pm
KAY SUAN, berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa) dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kuching. - Foto Mohd Roji Kawi
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg (kiri) bersalam dengan Councillor Pegawai Presiding Andrew Dix, di Majlis Konvokesyen Universiti Swinburne 2017 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) Kuching.- Foto Nadim Bokhari

Rabun teruk tak halang genggam ijazah sarjana

KUCHING: Masalah penglihatan yang dihadapi sejak berusia 11 tahun tidak pernah menghalang Pung Kay Suan untuk meraih kejayaan dalam akademik.

Walaupun mengakui terlalu sukar untuknya mengikuti sesi pembelajaran, beliau tetap tabah menghadapinya kerana percaya setiap kejayaan harus dicapai dengan kesukaran.

Berbekalkan semangat gigih itu, Kay Suan, 27, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa) dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, di sini hari ini.

"Ibu bapa sebenarnya banyak mendorong, membuatkan saya lebih bersemangat untuk menamatkan pengajian. Sepanjang tempoh belajar, pensyarah dan rakan turut membantu sehingga saya berjaya menamatkan pengajian," katanya.

Kay Suan antara 344 graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan turut dihadiri Naib Canselor serta Presiden universiti berpangkalan di Australia itu, Prof Linda Kristjanson.

Kay Suan berkata, beliau berhasrat melanjutkan pengajian hingga peringkat doktor falsafah dan yakin mampu mencapai cita-cita itu.

"Selepas berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada 2013, saya terus bertekad untuk ke peringkat lebih tinggi dan gembira apabila usaha itu akhirnya berbaloi," katanya.

Universiti Teknologi Swinburne mengembangkan cawangannya ke Sarawak pada 2000. Sejak itu, institusi pengajian tinggi swasta itu berjaya melahirkan lebih 4,000 graduan diploma hingga PhD dengan 20 peratus adalah pelajar asing.

Berita Harian X