Selasa, 17 Oktober 2017 | 10:06pm

UUM dalam kalangan satu peratus universiti terbaik Asia

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukan di rantau Asia apabila disenaraikan pada kedudukan ke-131 dalam QS Asia University Rankings (QS Asia) 2018 yang diumumkan hari ini.

Keputusan yang dikeluarkan oleh QS ini menyaksikan UUM melonjak 168 anak tangga sejak kali pertama disenaraikan dalam QS Asia pada tahun 2011.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata kedudukan terbaharu itu meletakkan UUM dalam kalangan satu peratus universiti terbaik di Asia daripada 11,900 universiti.

QS Asia 2018 menggunakan 10 petunjuk dalam menilai sesebuah universiti iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar fakulti, kakitangan dengan PhD, kertas kerja per fakulti, fakulti antarabangsa, pelajar antarabangsa, pelajar pertukaran masuk, pelajar pertukaran keluar dan sitasi untuk setiap kertas kerja.

Berita Harian X