Isnin, 16 Oktober 2017 | 11:36pm
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tujuh, kanan) bergambar bersama para pemenang Anugerah Inovasi Negara 2017 di Taman Teknologi Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tujuh, kanan) bergambar bersama para pemenang Anugerah Inovasi Negara 2017 di Taman Teknologi Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

UMP menang Anugerah Inovasi Negara 2017

KUALA LUMPUR: Hasil inovasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya memenangi Kategori Produk Anugerah Inovasi Negara (AIN) pada malam penutup National Innovation and Creative Economy (NICE) Expo 2017, di sini malam ini.

Usaha penyelidikan di bawah anak syarikat UMP, UMP Ecopest Sdn Bhd mengenai tandan kelapa sawit kosong sebagai umpan tiruan anai-anai yang mesra alam, merangkul anugerah terbabit.

Hospital Umum Sarawak pula memenangi Kategori Perkhidmatan dengan projek inovasi penghasilan dentur penuh (gigi palsu) kepada pesakit dari tempoh tiga bulan ke satu hari.

Pemenang kedua-dua kategori, masing-masing membawa pulang RM50,000, trofi dan sijil yang disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau.

Bagi Kategori Akar Umbi, usahawan dari Klang, Selangor, Noor Arjuna Abd Ghani, 49, membawa pulang RM20,000 untuk ciptaan 'Mygic Pensugi', produk sunnah inovasi daripada sebatang kayu arak kepada sebatang pen kayu sugi buang.

Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, Perak pula dinobatkan pemenang Kategori Sekolah dengan ciptaan 'Cattapa', iaitu rawatan organik bagi pertanian dan ternakan seperti merawat luka ikan dan luka pokok.

Pemenang kategori berkenaan membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil.

Anugerah Saintis Muda Negara dirangkul Dr Foo Keng Yuan dari Universiti Sains Malaysia, manakala Anugerah Juruteknologi Negara diraih Noor Azwan Ahmad dari Universiti Teknologi Petronas.

Mereka masing-masing memenangi RM20,000 dan RM10,000, trofi dan sijil.

Kategori media cetak, dimenangi wartawan The Star, Tan Shiow Chin dengan tajuk penulisan 'Hope With Haplo', manakala wartawan RTM Sabah, Ritah Aloysius memenangi kategori media elektronik dengan laporan bertajuk 'Inovasi Kitar Semula'.

Mereka memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

AIN adalah anugerah tahunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mengiktiraf pereka cipta tempatan yang menghasilkan produk atau perkhidmatan melalui daya kreativiti dan inovasi. - BERNAMA

Berita Harian X