Ahad, 1 Oktober 2017 | 1:56pm
MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) bergambar bersama tiga peserta dari UKM, Mahsa Universiti dan USM diumumkan sebagai pemenang utama Pitch for Progress 2.0 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 setiap kumpulan. - Foto Rosela Ismail

UKM, USM antara 3 terbaik program 'Pitch For Progress 2.0'

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terpilih antara tiga pasukan terbaik pada pusingan akhir program 'Pitch For Progress 2.0' dengan tema Revolusi Pendidikan yang diadakan sejak Jumaat lalu.

Selain UKM, Universiti MAHSA dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut diumum antara tiga terbaik daripada lapan pasukan yang bersaing dalam peringkat akhir.

Lapan pasukan itu pula antara 56 pasukan daripada 30 universiti awam (UA) dan swasta diwakili keseluruhan 168 pelajar yang menyertai program berkenaan.

Tiga pasukan terbaik masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Setiap pasukan diberi dua minit untuk menyampaikan idea dan hujah kepada barisan hakim.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh turut mengadili pembentangan peringkat akhir itu di Universiti Asia Pasifik, di sini hari ini.

Bercakap pada sidang media kemudian, Idris berkata, idea dibentangkan peserta program berkenaan selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pengajian Tinggi).

Ia juga, katanya, selaras gagasan 'Redesigning higher education' untuk melonjakkan kejayaan sektor pendidikan tinggi.

"Kita dimaklumkan pelbagai idea dikemukakan pelajar daripada lebih 50 universiti seluruh negara, sangat memberi inspirasi.

"Cadangan bernas pelajar akan disatukan dalam kerangka industri pendidikan 4.0 yang akan dikeluarkan oleh kementerian selepas mendapat nasihat, pandangan dan maklum balas rakyat selepas ini," katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Institut Informasi Teknologi Asia Pasifik, Datuk Dr Parmjit Singh.

Sementara itu, pelajar tahun akhir jurusan undang-undang UKM, Jason Cheong Koh Lok, 23, berkata cadangan pendidikan fleksibel dibentangkan pasukannya, bukan untuk mengubah sistem lama.

"Ia sebagai salah satu pilihan pelajar untuk memperkasa pendidikan mengikut kekuatan mereka. Pelajar boleh pilih subjek dan tempoh masa untuk menyelesaikan pengajian tanpa had jam kredit setiap semester.

"Kaedah ini sudah dilaksanakan di beberapa negara maju bagi meningkatkan kualiti masa pengajian dan kebolehupayaan graduan yang mampu memenuhi kehendak industri," katanya.

Berita Harian X