Selasa, 26 September 2017 | 2:50pm
NAIB Presiden Hubungan dan Hal Ehwal Korporat LUCT, Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal. - Foto fail NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
NAIB Presiden Hubungan dan Hal Ehwal Korporat LUCT, Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal. - Foto fail NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

LUCT tawar kursus jangka pendek kendali dron

PUTRAJAYA: Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) menawarkan kursus jangka pendek teknik penggunaan dron dikendalikan rakan kerjasamanya dari syarikat terkemuka bidang pengendalian dron di United Kingdom (UK), Strat Aero Plc.

Naib Presiden Hubungan dan Hal Ehwal Korporat LUCT, Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal, berkata pengetahuan mengendalikan pesawat tanpa juruterbang itu secara tidak langsung akan menambah baik cara kerja pengendalian dron di negara ini.

Katanya, penggunaan dron kini bukan sahaja dimanfaatkan dalam bidang pembuatan filem, sebaliknya turut digunakan secara meluas dalam bidang pertanian, memantau kawasan banjir, kawalan trafik dan ketika bantuan kemanusiaan.

"Dengan adanya ilmu mengendalikan dron ini, kita tidak lagi perlu ke kawasan terbabit secara fizikal untuk mendapatkan gambaran sebenar tetapi boleh memantau dari jauh.

"Contohnya ada kemalangan di gaung, polis hanya perlu mengendalikan dron untuk mendapat gambaran sebenar apa yang terjadi di kawasan terbabit sebelum menyelaras operasi menyelamat.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan LUCT adalah universiti pertama yang mengadakan kursus ini. Sebelum ini mungkin ada kursus ditawarkan, tapi tidak merangkumi keseluruhan teknik selain tidak mendapat pengiktirafan pihak antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan tawaran kursus berkenaan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Strat Aero Plc, Iain McLure dan Pengarah Latihan Dron, Mark Wharry.

Fajura berkata, kursus jangka pendek itu akan dibuka kepada orang awam selewat-lewatnya akhir November ini, manakala untuk pelajar LUCT pula, akan dibuka ketika pengambilan pelajar baharu Februari 2018.

"Untuk pelajar LUCT, kita akan buka kepada pelajar di empat fakulti dahulu, termasuk Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Inovasi Reka Bentuk, Fakulti Seni Bina dan Persekitaran serta Fakulti Teknologi Komunikasi Maklumat," katanya.

Sementara itu, Mark berkata, mengendalikan dron tidak sama seperti menangkap gambar menggunakan kamera kerana ia membabitkan pelbagai aspek keselamatan.

"Di UK, penggunaan dron secara meluas dalam pelbagai bidang. Pengendali dron atau kita panggil juruterbang, turut diangkat sebagai pekerjaan profesional," katanya.

Berita Harian X