Isnin, 25 September 2017 | 11:13pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hadir pada Majlis Ramah Mesra Pengambilan Pertama Pelatih PLKI-ECRL di Kuantan, hari ini. - Foto ihsan UMP

50 graduan mula latihan untuk Rel Pantai Timur

KUANTAN: Seramai 50 graduan kejuruteraan daripada pelbagai universiti tempatan dan luar negara termasuk 18 pelajar politeknik Malaysia, mula mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) selama tiga bulan, bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata daripada jumlah itu seramai 29 pelatih adalah lepasan sarjana muda jurusan kejuruteraan sivil, mekanikal dan elektrikal, manakala 21 lagi lepasan diploma.

Beliau berkata, mereka mengikuti latihan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang dekat sini, dengan modul pembelajaran kerjasama daripada Beijing Jiatong Universiti dan Southwest Jiatong University, China dan UMP.

Katanya, mereka turut menerima elaun RM1,000 sebulan bagi pelatih memiliki ijazah, manakala RM900 pelatih diploma.

"Selepas tamat latihan, mereka akan diserapkan sebagai pekerja dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), China Communications Construction (CCCC) CCC atau subkontraktor syarikat berkenaan dalam bidang pembinaan, operasi dan penyelenggaraan.

"UMP dilantik sebagai universiti fokal, bagi menyediakan kursus latihan ini hasil rundingan pihak kerajaan dengan MRL dan CCCC untuk bagi menjayakan ECRL yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Pengambilan Pertama Pelatih PLKI-ECRL di sini hari ini.

Yang turut hadir , Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCCC, Bai Yinzhan.

Idris berkata, seramai 300 lagi pelatih PLKI ECRL akan diambil sehingga Disember ini manakala 400 pelatih pada tahun 2018, diikuti 1,200 pada 2019, 700 pada 2020 dan 500 pelatih masing-masing pada 2021 dan 2022.

"Keseluruhan program ini membabitkan 3,600 orang bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, UMP melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal memperkenalkan kursus elektif berkaitan Teknologi Rel yang akan ditawarkan semester ini.

Berita Harian X