Khamis, 14 September 2017 | 1:59pm
AHMAD Firdauz Abdullah Tahrin. - Foto ihsan pembaca
ISTERI dan anak menjadi pembakar semangat Ahmad Firdauz untuk terus mencurahkan khidmat terbaik dalam bidang pendidikan negara. - Foto ihsan pembaca

Pengalaman guru sandaran buka minda jadi pendidik

KUALA LUMPUR: Pembabitan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nanas, Pontian, Johor, Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, dalam dunia pendidikan bermula secara tidak dijangka.

Selepas tamat persekolahan, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni bina di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun hatinya berbelah bahagi sebulan kemudian.

Didorong galakan keluarga dan guru, Ahmad Firdauz membuat keputusan beralih ke arah kerjaya pendidik yang menyaksikan beliau mengikuti program Diploma Perguruan Malaysia di Maktab Perguruan Raja Melewar (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar), Seremban, Negeri Sembilan, pada 2002.

"Sebenarnya sebelum memasuki maktab, saya menjadi guru sandaran hampir setahun di SK Ahmad, Pekan, Pahang, iaitu tempat memperoleh pendidikan rendah dahulu.

Fasa pentadbiran


Peluang mencurah bakti melalui profesion keguruan memberi kepuasan kepada Ahmad Firdauz. - Foto ihsan pembaca

"Pengalaman itu banyak membuka mata dan minda saya terhadap dunia pendidikan. Saya merasakan banyak sumbangan dapat diberi melalui bidang keguruan, lebih-lebih lagi ia dipandang mulia oleh masyarakat," katanya ketika dihubungi.

Beliau mula bertugas sebagai guru pada 2005 di SK Nong Chik, Johor Bahru, dengan subjek pertama diajar ialah Bahasa Inggeris dan Sains.

Pada 2009, anak jati ibu kota itu mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Inggeris) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Selepas lapan tahun bergelar pendidik, perjalanan kerjaya Ahmad Firdauz melangkah ke fasa pentadbiran apabila dilantik sebagai Penolong Kanan di SK Sungai Danga, Johor Bahru, pada November 2013.


AHMAD Firdauz (kiri) bersama warga pendidik di SK Pekan Nanas. - Foto ihsan pembaca

"Saya kemudian mengikuti Diploma Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan serta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki (IAB) pada tahun sama bagi memenuhi syarat asas pelantikan Pengetua/Guru Besar (PGB).

"Tanggal 16 Disember 2015, saya dilantik menjadi Guru Besar di SK Jaya Mulia (Sekolah Kurang Murid) sebelum menyandang jawatan sama di SK Pekan Nanas (Sekolah Amanah) pada 16 Disember 2016 hingga sekarang," katanya.

Dapatkan kepercayaan

Tanggungjawab dipikul sudah tentu ada cabaran tersendiri yang menuntut Ahmad Firdauz bersikap kreatif dan bijak dalam mentadbir sekolah, termasuk menangani setiap masalah dengan tenang, matang serta berhemah.

"Bukan senang menjadi pendidik dan pentadbir pada masa sama, terutama bagi saya yang boleh diibaratkan baru setahun jagung dalam perjawatan ini.


AHMAD Firdauz (berdiri, tengah) berjaya membantu SK Pekan Nanas terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Drama Sains Antarabangsa di Singapura pada Jun lalu. - Foto ihsan pembaca

"Perkara paling mencabar ialah mendapatkan kepercayaan daripada semua peringkat, dan ia hanya boleh diraih melalui bukti kerja harian yang dilaksanakan.

"Individu lain akan menilai dan melihat kebolehan kita menguruskan suatu perkara di sekolah, justeru setiap tindakan serta tutur cara perlu berhemah dan bijak," katanya.

Ahmad Firdauz tidak ketinggalan mendapatkan pandangan pihak lebih berpengalaman, selain berbincang mengenai isu pendidikan yang timbul di sekolah dan membuat rujukan kompilasi kes diterbitkan Kementerian Pendidikan.

Bagi bapa kepada dua cahaya mata itu, setiap warga pendidik perlu berasa selesa berkhidmat di sekolah mereka yang secara langsung akan mendorong pelaksanaan tugas dengan baik dan ikhlas.

Wakili Malaysia

Beliau turut mengimbau pengalaman memikul amanah sebagai Guru Besar di SK Jaya Mulia yang ketika itu hanya ada 12 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Seorang daripada mereka seperti tiada harapan untuk lulus walaupun satu subjek. Namun, saya tidak putus harap dan berterusan memberi galakan kepadanya supaya berusaha melakukan yang terbaik.

"Saya juga menyuntik inspirasi kepada semua guru supaya membantu murid itu dalam segenap aspek yang termampu. Dalam keadaan murid itu serba kekurangan, kami tidak berhenti berusaha dan mencuba.

"Alhamdulillah dengan bantuan guru, calon terbabit lulus lima daripada enam subjek UPSR 2016, sekali gus membuktikan bahawa jika diberi kepercayaan, ruang dan motivasi sewajarnya, seseorang itu boleh mencurahkan yang terbaik," katanya.

Dalam tempoh kurang setahun berkhidmat di SK Pekan Nanas pula, Ahmad Firdauz berjaya membantu sekolah itu terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Drama Sains Antarabangsa di Singapura, Jun lalu.

PROFIL

Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin

Umur: 34 tahun

Tarikh lahir: 21 Februari 1983

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Kedudukan dalam keluarga: Anak bongsu daripada tiga adik-beradik 

Kelulusan:

* DPM, Maktab Perguruan Raja Melewar

* Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Inggeris), OUM

* Diploma Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan, IAB

* NPQEL, IAB

Pencapaian:

* Anugerah Kecemerlangan Kerajaan Negeri Sembilan 2005

* Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Kementerian Pendidikan

Berita Harian X