Selasa, 29 Ogos 2017 | 3:45pm
PESERTA Klinik UPSR BH Didik 2017 anjuran Forest City di Gelang Patah, baru-baru ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Cabar berfikir secara kritis, inovatif

GELANG PATAH: Fahami topik sukar menjadi antara cabaran bagi peserta Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Didik Sekolah Angkat Forest City, yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Program dua hari itu dianjurkan Forest City dengan kerjasama BH membabitkan murid dari lima sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Morni Pok, SK Tiram Duku, SK Pendas Laut, SK Tanjung Adang dan SK Tanjung Kupang.

Guru Besar SK Tiram Duku, Hawa Yunos, 52, berkata pendekatan berkesan yang diajar oleh penceramah menepati ketetapan format baharu bagi peperiksaan UPSR dalam menguji pemikiran murid dengan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Katanya, seramai 25 murid SK Tiram Duku yang menyertai program berkenaan diharap berjaya mencatat kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR akan datang.

"Pemerhatian saya mendapati pendekatan digunakan oleh penceramah turut membantu meningkatkan kreativti guru untuk mempelbagaikan kaedah mengajar, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

"Penggunaan gambar rajah atau visual, selain penekanan komunikasi dua hala menjadi elemen penting pendidikan dalam melahirkan murid yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.

"Program seumpama ini membuka peluang kepada mereka khususnya murid di kawasan luar bandar untuk mempertingkatkan pencapaian akademik, sekali gus bertepatan keperluan pembelajaran abad ke-21," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Teknik pembelajaran berkesan

Murid SK Tanjung Adang, Yusri Mohd Yusof, 12, teruja dengan penyampaian menarik penceramah berpengalaman terbabit yang mendedahkan banyak teknik pembelajaran berkesan.

"Saya begitu teruja untuk menjawab soalan yang diajukan penceramah kerana kaedah menggunakan gambar berkaitan topik subjek, yang secara tidak langsung membantu meningkatkan kefahaman saya.

"Saya menunggang basikal awal pagi lagi supaya dapat hadir pada program ini tepat pada masa. Ilmu yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan bagi mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan sebenar nanti," katanya.

Berita Harian X