Sabtu, 19 Ogos 2017 | 6:54pm
SEMINAR Bimbingan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) anjuran Kelab TAHA Tabung Haji dengan kerjasama BH di Jabatan Pendidikan Wilayah. - Foto Rohanis Shukri
SEMINAR Bimbingan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) anjuran Kelab TAHA Tabung Haji dengan kerjasama BH di Jabatan Pendidikan Wilayah. - Foto Rohanis Shukri

TH bantu calon PT3

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) komited membantu Kementerian Pendidikan melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik yang juga mempunyai daya pemikiran kritis.

Sehubungan dengan itu, Pengarah TH Kuala Lumpur, Mohamad Abas, berkata pihaknya bekerjasama dengan Berita Harian (BH) untuk menganjurkan beberapa seminar bimbingan peperiksaan di sini.

"Menerusi program ini, kami berharap agar pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsi oleh penceramah berpengalaman yang dibawa oleh BH supaya mampu memperoleh keputusan peperiksaan yang bagus," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) anjuran TH dengan kerjasama BH di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Pendidikan Islam jabatan itu, Mohamed Nor Salleh; Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam jabatan berkenaan, Wan Mohd Zaidi Wan Mahmood dan Pengarang Berita BH, Mohd Feroz Abu Bakar.

Lebih 260 calon PT3 menyertai program sehari itu.

Mohamad berkata, seminar berkenaan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat TH bertujuan mempersiap pelajar sebelum menduduki PT3 tidak lama lagi.

Katanya, seminar itu mendedahkan teknik menjawab soalan secara berkesan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Berita Harian X