Khamis, 17 Ogos 2017 | 3:16pm
KEJURUTERAAN fotonik di UniMAP menyediakan tenaga mahir untuk industri.
KEJURUTERAAN fotonik di UniMAP menyediakan tenaga mahir untuk industri.

Kejuruteraan fotonik merealisasikan keperluan negara

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan fotonik ialah bidang teknologi yang berkembang pesat berikutan kepentingannya dalam menghasilkan komponen peranti telekomunikasi dan pengkomputeran.

Bidang pengajian itu merangkumi semua bidang ilmu berkaitan penghasilan dan kawalan foton, terutama dalam ruang cahaya spektrum serta ruang cahaya yang menghampiri infra merah.

Foton ialah unit asas tenaga cahaya yang boleh diukur dan dimanipulasi.

Secara khusus, bidang fotonik berkait rapat dengan bidang optoelektronik, elektronik kuantum dan fabrikasi gentian optik.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Ir Dr Rizalafande Che Ismail, berkata UniMAP menawarkan program pengajian pascasiswazah dalam bidang fotonik bagi meletakkan nama UniMAP sebaris dengan institusi penyelidikan terkemuka.

"Sejak 2008, bidang ini diperkenalkan dan ditawarkan melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik dan graduan program pengajian itu sentiasa menjadi rebutan industri kerana kemahiran mereka yang memenuhi kehendak pasaran industri semikonduktor semasa.

"Lebih 75 peratus daripada graduan bidang ini diambil bekerja oleh syarikat antarabangsa dalam masa empat bulan selepas tamat pengajian," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain daripada bidang pengajian bagi memenuhi keperluan industri, UniMAP turut melakukan penyelidikan kejuruteraan fotonik. 

Beliau berkata, antara penyelidikan yang dijalankan adalah penghasilan bahan optoelektronik baharu hasil gabungan titanium oksida dan arang dari buluh (Gigantochloa Albociliata).

"Sel solar yang dihasilkan melalui gabungan ini dikatakan mempunyai keberkesanan yang lebih baik daripada sel solar sedia ada yang dibuat menggunakan silikon," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Jaringan Industri dan Pengurusan Kualiti, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, UniMAP, Dr Muhammad Mahyiddin Ramli, berkata pengajian dan penyelidikan bidang kejuruteraan fotonik di UniMAP bertujuan membantu merealisasikan keperluan negara dalam membekal tenaga kerja profesional dalam bidang fotonik dan semikonduktor.

"Bidang kejuruteraan fotonik semakin berkembang pesat ketika ini disebabkan kepentingannya dalam bidang peranti semikonduktor dan gentian optik," katanya.

Beliau berkata, UniMAP juga menjalinkan hubungan kerjasama dengan OSRAM iaitu syarikat gergasi Jerman dalam bidang kejuruteraan fotonik, terutamanya dalam penghasilan fabrikasi diod pemancar cahaya (LED).

"Bidang fotonik turut meningkatkan kemajuan dalam bidang perubatan dengan laser digunakan dalam pelbagai prosedur diagnostik dan rawatan," katanya.

Antara bidang tugas seorang jurutera fotonik ialah mencipta dan memperbaiki sistem dan produk yang menggunakan peranti optik, bahan berasaskan optik, laser, gentian optik, pengimejan dan pelbagai peranti optoelektronik.

Beliau berkata, jurutera fotonik turut diperlukan untuk memeriksa kecekapan sistem dengan menguji tahap keberkesanan keseluruhan dari aspek optik dan elektronik.

Selain itu, katanya, mereka juga terbabit dalam membangunkan produk elektronik untuk kegunaan harian, termasuk sel solar, LED, skrin televisyen dan telefon pintar.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata berdasarkan prestasi industri fotonik yang semakin berkembang pesat di negara ini, bidang pengajian kejuruteraan fotonik sangat penting dalam menyokong hala tuju negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir.

"Bidang pengajian ini diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan tahap profesionalisme yang diterapkan juga diperakui oleh pemain industri seperti OSRAM yang sedia menerima graduan UniMAP," katanya.

Berita Harian X